PETALING JAYA – Pelaksanaan program berbentuk mitigasi atau intervensi untuk membantu menyelesaikan isu-isu kos sara hidup menjadi bukti jelas kerajaan tidak pernah membiarkan rakyat bersendirian dalam menghadapi cabaran berkenaan.
Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Datuk Armizan Mohd Ali berkata, masyarakat dunia pada ketika ini terpaksa berdepan dengan peningkatan harga barang dan sebagainya.
“Namun pada masa sama, kerajaan tidak menyerahkan bulat-bulat rakyat berhadapan dengan isu permintaan dan penawaran, harga barang yang meningkat, rakyat tidak dibiarkan begitu saja.
“Kita sentiasa mencari ikhtiar, sama ada program berbentuk mitigasi atau intervensi untuk kita membantu menyelesaikan isu-isu kos sara hidup bagi mengurangkan beban rakyat,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap selepas menyempurnakan program SIM@PAX Hari Raya Aidilfitri Serta Ikhlas Ramadan Bersama Gas Petronas di Dewan Terbuka Tapak Tamu Mingguan Papar, Sabah semalam.
Katanya, isu kos sara hidup bukan sahaja dilalui rakyat Malaysia namun merupakan cabaran yang perlu dihadapi seluruh masyarakat di peringkat global.
“Di mana-mana negara di dunia, masyarakat berhadapan dengan isu inflasi, begitu juga dengan isu kos sara hidup ini.
“Jadi saya ingin memaklumkan bahawa sebagai kerajaan, baik di Persekutuan mahupun negeri sentiasa komited untuk membantu mencari ikhtiar bagi menangani isu kos sara hidup,” katanya.
Katanya, bagi mendepani cabaran itu kerajaan di peringkat Persekutuan, melaksanakan pelbagi program, antaranya Sumbangan Tunai Rahmah (STR) dan Program Sumbangan Asas Rahmah (SARA).
“Di peringkat negeri juga tidak lepas tangan apabila kerajaan negeri berjaya meningkatkan hasil kerajaan negeri.
“Seterusnya kerajaan negeri memperkenalkan program baharu iaitu Sentuhan Kasih Rakyat (SYUKUR) di mana ketua isi rumah (KIR) yang disenarai e-Kasih layak menerima RM300 secara bulanan,” katanya.
Susulan itu, beliau sekali lagi membidas pihak yang menjadikan isu bantuan sebagai modal politik dengan mempertikaikan program yang dilaksanakan kerajaan hari ini.- KOSMO! ONLINE