BANDAR RAYA NEW YORK – Empat kebakaran hutan berlaku di pinggir Hamptons, negeri New York semalam, menyebabkan langit dipenuhi asap hitam tebal dan mencetuskan panik, lapor akhbar New York Post.
Kebakaran berlaku di Center Moriches, East Moriches, Eastport dan Westhampton. Ia menyelubungi sebahagian kawasan East End di Long Island sejurus selepas pukul 1 tengah hari (waktu tempatan), selain mengancam rumah dalam komuniti kelas pertengahan dan kaya di Hamptons.
Gabenor New York, Kathy Hochul mengisytiharkan darurat bagi memberi amaran bahawa keadaan itu berkemungkinan berlaku selama beberapa hari.
“Peningkatan angin semalaman menyebabkan pihak berkuasa sangat prihatin.
“Saya juga mengambil berat tentang kualiti udara. Ia boleh berubah pada bila-bila masa tetapi kualiti udara pasti terjejas,” katanya kepada saluran televisyen CNN.
Hochul turut membangkitkan kebimbangan mengenai kualiti udara dan berkata, negeri itu menghantar 1,000 pelitup muka ke kawasan terjejas.
Empat helikopter Blackhawk turut menggugurkan kira-kira 2,498 liter air bagi membantu usaha mengawal kebakaran.
Api menutup laluan utama ke Hamptons dan memaksa sejumlah pemindahan dilakukan, kata pihak berkuasa dan penduduk.
“Ia kelihatan seperti (letupan) bom nuklear. Asap hitam dan api mungkin setinggi kira-kira 30 meter. Ia tidak dapat dikawal sama sekali,” kata seorang penduduk, Lisa DiMiceli. – AGENSI