ALOR SETAR – Kira-kira 65,000 akaun pengguna di daerah Kota Setar dan Kubang Pasu mengalami gangguan bekalan air susulan kebakaran pada sistem elektrikal pam air mentah di Loji Rawatan Air (LRA) Bukit Pinang, hari ini.
Menurut Syarikat Air Darul Aman (SADA) Sdn. Bhd., operasi di LRA tersebut terpaksa dihentikan akibat kejadian litar pintas dan kerosakan pada sistem dalaman elektrikal pam tersebut.
“Berlaku gangguan bekalan air di beberapa kawasan disebabkan henti tugas operasi LRA Bukit Pinang fasa satu, dua dan tiga berikutan litar pintas dan kerosakan pada sistem dalaman elektrik pam air mentah.
“Gangguan bekalan air itu bermula kira-kira pukul 4.30 petang tadi hingga kerja-kerja pembaikan dan agihan semula bekalan air selesai. Dianggarkan sebanyak 65,000 akaun pengguna terjejas,” katanya.
Sementara itu Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Pokok Sena, Pegawai Bomba Tinggi II Bakar Saad berkata, pihaknya menerima panggilan mengenai kejadian itu pada pukul 3.11 petang dan tiba di lokasi kira-kira 15 minit kemudian.
“Setibanya di lokasi didapati berlaku kebakaran pada distribution box (DB) dengan bekalan elektrik telah diputuskan oleh pihak Tenaga Nasional Berhad (TNB),” katanya. – KOSMO! ONLINE