fbpx

Kastam rampas 23kg dadah di KLIA

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Antara dadah yang dirampas JKDM dalam serbuan yang dijalankan di dua lokasi berasingan di KLIA baru-baru ini.

PETALING JAYA – Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) berjaya menumpaskan sindiket pengedaran dadah dalam serbuan di dua lokasi berasingan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Sepang, Selangor.

Sebanyak 23.095 kilogram (kg) dadah dengan anggaran nilai RM3.05 juta dirampas dalam operasi yang dijalankan bersama Cawangan Narkotik, Cawangan Risikan, dan Cawangan Siasatan, Unit Siasatan Pengubahan Wang Haram Ibu Pejabat JKDM.

Penolong Ketua Pengarah Kastam, Raizam Setapa berkata, operasi pertama pada 3 Februari lalu membabitkan rampasan dadah jenis methylenedioxy-methamphetamine (MDMA).

Menurutnya, dadah tersebut ditemui dalam serbuan kira-kira pukul 3 petang di sebuah gudang syarikat logistik di Kargo KLIA.

“Pemeriksaan menjumpai 10 bungkusan yang mengandungi plastik lutsinar berisi pil berwarna merah jambu disyaki dadah jenis MDMA dengan anggaran berat 17.8 kilogram (kg) yang dianggarkan bernilai RM2.97 juta.

“Dadah tersebut dipercayai dihantar melalui perkhidmatan kurier udara dengan mengisytiharkan sebagai ‘Organic Waxmelt Vanilla’, ” katanya dalam kenyataan hari ini.

Mengulas lanjut, Raizam berkata, serbuan kedua pada 21 Januari yang dijalankan sepasukan anggota bersama anjing pengesan (K9) menjumpai dadah jenis methamphetamine di Pusat Mel dan Kurier di KLIA Sepang, Selangor.

“Anggaran berat kasar keseluruhan adalah 1.036 kg yang dianggarkan bernilai RM33,152.

“Sindiket berkenaan dipercayai menyembunyikan bahan kristal putih tersebut di dalam platik silica gel yang dicampurkan bersama bahan makanan kering dan diikrarkan sebagai ‘Dry Food’ semasa pengeksportan,” ujarnya.

Dalam perkembangan berkaitan, Raizam berkata, seorang lelaki dan wanita berusia 30-an turut ditahan dalam serbuan ketiga di sebuah kondominium di Kuchai, Kuala Lumpur pada 10 Februari lalu.

“Hasil serbuan ke atas unit kondominium tersebut, pasukan serbuan menjumpai beberapa dadah jenis cannabis dengan anggaran berat kasar 4.05 kg, MDMA (208 gram) serta LSD (1.973 gram).

“Sindiket dipercayai menggunakan perkhidmatan udara untuk menghantar dadah dengan barang diikrarkan sebagai ‘Epoxy Resin for Art and Craft’,” jelasnya.

Katanya, kesemua kes disiasat di bawah Seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI