JOHOR BAHRU – Seorang murid sekolah rendah tidak dapat menyembunyikan perasaan gembira dan terujanya apabila tahun ini dapat membeli baju raya baharu untuk menyambut Aidilfitri tahun ini.
Mohd Rayyan Raeez Surakman, 12, yang bersekolah di Sekolah Kebangsaan (SK) Mohd Khir Johari berkata, selalunya dia akan menyarung pakaian apa yang ada setiap kali tiba pagi Syawal.
“Ayah saya kerja kilang dan emak pula tak kerja, suri rumah. Saya ada tiga beradik dan saya anak kedua.
“Selalunya kalau hari raya, kami pakai mana yang ada sahaja. Hari ini saya seronok sangat dapat pilih sendiri baju raya tahun ini,”katanya yang merupakan antara 51 penerima sumbangan dalam Program Raya Bergaya Jom Shopping di Angsana Mall di sini semalam.
Program itu merupakan anjuran Masjid Kampung Melayu Majidee dengan kerjasama PIBG SK Mohd Khir Johari, guru-guru serta komuniti Kampung Melayu mendapatkan pakaian raya serta duit raya.-KOSMO! ONLINE