fbpx

Insiden bom: Pelajar di Sungai Golok disaran tinggal di asrama

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Fadhlina (kanan) menyampaikan sumbangan makanan kepada pelajar pada Jaulah Ramadan KPM 2025 Peringkat Negeri Kelantan di Sekolah Menengah Kebangsaan Agama Naim Lilbanat, Kota Bharu hari ini. FOTO KAMARUL BISMI KAMARUZAMAN/ KOSMO!

KOTA BHARU – Pelajar sekolah yang tinggal di Sungai Golok, Thailand disarankan agar tinggal di asrama susulan insiden letupan bom dan berbalas tembakan yang berlaku di kawasan pekan tersebut malam semalam.

Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek berkata, ia merupakan satu langkah dan persediaan untuk menjaga keselamatan pelajar yang sering berulang-alik untuk bersekolah di negara ini.

Menurutnya, pelajar-pelajar juga disarankan agar tidak merentas sempadan buat sementara waktu dan tinggal di asrama sekolah masing-masing.

“Buat masa ini, pelajar yang tinggal di Sungai Golok diharap tidak digalakkan untuk merentas sempadan. Biar keadaan betul-betul selamat dahulu.

“Ibu bapa boleh berhubung dengan pihak Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Kelantan untuk perkembangan mengenai perkara itu. Saya yakin JPN Kelantan telah mengambil kira aspek keselamatan pelajar-pelajar,” katanya pada sidang akhbar selepas Jaulah Ramadan Kementerian Pendidikan (KPM) 2025 Peringkat Negeri Kelantan di Sekolah Menengah Kebangsaan Agama Naim Lilbanat di sini hari ini.

Kosmo! Online semalam melaporkan, dua anggota sukarelawan pertahanan terkorban manakala lapan cedera dalam insiden letupan bom di Sungai Golok, Thailand semalam.

Kejadian kira-kira pukul 7.10 malam waktu tempatan itu berlaku semasa sekumpulan lelaki bersenjata menaiki dua kenderaan pacuan empat roda sebelum menyerang Pejabat Daerah Sungai Golok.

Dalam pada itu, Fadhlina berkata, pihaknya juga sedang membuat kajian bagi menilai keperluan mewujudkan asrama untuk murid sekolah rendah yang tinggal di Sungai Golok.

Menurutnya, inisiatif yang dilaksanakan KPM itu dapat mengurangkan risiko keselamatan yang dihadapi murid dan memastikan kedaulatan negara terpelihara. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI