RANTAU PANJANG – Rakyat Malaysia dilihat mengambil pendekatan selamat dengan tidak berkunjung ke Sungai Golok, Thailand apabila pintu sempadan di Kompleks Imigresen, Kastam, Kurantin dan Keselamatan (ICQS), Rantau Panjang di sini hari ini lengang selepas insiden letupan bom dan berbalas tembakan pada malam tadi.
Tinjauan Kosmo! di ICQS yang merupakan pintu masuk utama sempadan Malaysia-Thailand di daerah ini mendapati, tiada kenderaan dari negara ini beratur untuk memasuki Thailand.
Bagaimanapun, hanya van dengan nombor pendaftaran Thailand yang membawa rakyat negara itu dilihat berada di pekarangan ICQS.
Pengusaha motor tambang, Rudi Awang, 40, berkata, tidak ramai penumpang yang terdiri daripada rakyat Malaysia menggunakan khidmat motosikalnya untuk masuk ke Sungai Golok hari ini.
Menurutnya, dia mengakui bahawa perkhidmatan motor tambang sememangnya kurang mendapat sambutan orang ramai, namun keadaan berbeza selepas insiden letupan itu.
“Apabila berlaku kejadian itu, orang ramai khususnya rakyat Malaysia lebih berjaga-jaga dan bimbang untuk masuk ke Sungai Golok melalui ICQS Rantau Panjang.
“Mungkin rakyat Malaysia takut untuk masuk ke Thailand selepas tular insiden itu di media sosial,” katanya.- KOSMO! ONLINE