PETALING JAYA – Analasis model ramalan cuaca terkini Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) menunjukkan luruan angin monsun timuran yang kini sedang berlaku dijangka berterusan sehingga ke 12 Mac ini.
MetMalaysia dalam laporan cuacanya memaklumkan, keadaan ini berpotensi menyebabkan keadaan hujan berterusan di Pantai Timur terutamanya di Kelantan dan Terengganu menjelang hari berkenaan.
“Oleh itu, MetMalaysia sentiasa memantau keadaan cuaca dari semasa ke semasa dan akan mengeluarkan amaran hujan berterusan sebaik sahaja output model-model ramalan cuaca mencapai tahap keyakinan yang tinggi,” katanya di sini hari ini.
Sementara itu katanya, rantau negara masih lagi menerima angin dari arah timuran dengan kelajuan yang agak kencang terutamanya yang berada di bahagian latitud tinggi di mana kelajuan angin boleh mencecah 40 hingga 60 kilometer (km) sejam.
“Oleh itu, MetMalaysia telah mengeluarkan amaran angin kencang dan laut bergelora kategori pertama, kedua dan ketika di kawasan Laut China Selatan dan laut Sulawesi.
“Amaran ini adalah bahaya untuk semua aktiviti perikanan, perkapalan, sukan dan rekreasi laut serta bot-bot kecil,” katanhya.
Sementara itu katanya, keadaan cuaca lembap yang kini sedang berlaku di bahagian selatan Semenanjung iaitu di Rompin, Pahang menunjukkan keadaan hujan dijangka akan berlaku dalam masa beberapa jam saja lagi dan dijangka akan berterusan sehingga dua tiga jam.
“Selain itu, keadaan hujan yang sedang berlaku di bahagian pedalaman Perak, Kelantan dan Pahang dijangka akan bergerak ke sebelah barat dan boleh berterusan sehingga lewat pagi nanti.
“Di Sarawak dan Sabah pula didapati keadaan cuaca cerah ketika ini dan dijangka akan berterusan hingga lewat petang nanti,” katanya.
Namun katanya, keadaan hujan diramal akan berlaku di Kudat dan Sandakan menjelang beberapa jam sahaja lagi.
“Pada sebelah petang, MetMalaysia meramalkan hujan dan ribut petir masih lagi boleh berlaku di Pantai Timur dan bergerak menuju ke arah pedalaman.
“Di Sabah Sarawak, dijangka hujan boleh berlaku di Kudat, Sandakan serta Tawau manakala di Sarawak hujan dijangka turun di bahagian selatan dan utara pedalaman Sarawak,” katanya. – KOSMO! ONLINE