MANCHESTER – Pengurus Manchester United, Ruben Amorim memulakan perang psikologi dengan mendakwa Mikel Arteta menerima layanan istimewa sepanjang bersama Arsenal menjelang pertemuan kedua-dua pasukan di Stadium Old Trafford malam ini.
Amorim mengakui cemburu melihat rakan sejawatnya itu yang telah membimbing The Gunners sejak 2019 tidak menerima sebarang tekanan untuk dipecat meskipun melalui kemarau trofi yang panjang.
Kata Amorim, apa yang diberikan oleh pihak pengurusan United terhadapnya adalah sama seperti Arteta tetapi dengan tempoh lebih singkat jika tidak mahu dipecat pada masa akan datang.
“Saya rasa tidak akan diberi ruang dan peluang seperti yang dimiliki Arteta bersama Arsenal.
“Harus diakui kedua-dua kelab ini adalah berbeza dan apa yang Arteta lakukan sepanjang enam tahun bersama pasukan itu wajar dihormati,” kata Amorim yang memiliki kontrak hingga 2027.
Mengulas lanjut, Amorim mengakui pasukannya ketika ini masih tempang tanpa kelibat beberapa pemain utama yang mengalami kecederaan sekali gus menjejaskan misi untuk memburu mata di laman sendiri nanti.
“Saya harap pemain akan terus berjuang sepanjang perlawanan bertemu Arsenal. Ia bukanlah aksi yang mudah terutama selepas kita baru pulang daripada aksi Liga Europa dengan pemain masih lagi kepenatan.
“Namun, aksi menentang Arsenal sangat penting menentukan kedudukan pasukan dalam liga dan saya mahu semua pemain bersedia secara fizikal dan mental demi penyokong setia kita nanti,” katanya.
Sebagai rekod, The Red Devils tidak berada pada tahap terbaik ketika ini selepas ditunjukkan jalan keluar oleh Fulham di pusingan kelima Piala FA selain melepaskan peluang apabila seri 1-1 dengan Real Sociedad kelmarin.
Pengendali dari Portugal itu turut menarik nafas lega apabila pemain sensasinya, Amad Diallo tidak mengalami kecederaan serius dan boleh kembali menjalani sesi latihan penghujung bulan ini.
“Saya harap Amad akan dapat membantu pasukan kerana saya dimaklumkan dia sudah boleh bersama kami pada penghujung bulan ini,” katanya. – AGENSI