SHAH ALAM – Dua pelajar wanita dari Selangor disahkan cedera selepas terlibat dalam kemalangan di Jordan, semalam.
Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, beliau telah dimaklumkan berkaitan insiden itu dan kedua-dua pelajar itu adalah Sumayya Azamuddin dan Fatimah Nuha Mustaza.
“Saudari Sumayya dilaporkan cedera ringan manakala Saudari Fatimah Nuha mengalami kecederaan parah dan sedang menerima rawatan lanjut.
“Pejabat saya telah berhubung dengan waris dan keluarga pelajar terlibat serta akan memantau keadaan dari semasa ke semasa,” katanya hari ini.
Tambah Amirudin, kerajaan negeri turut bersedia menghulurkan bantuan terhadap keluarga pelajar berkenaan. – KOSMO! ONLINE