KUALA LUMPUR – Dua anggota polis ditahan selepas didapati positif dadah ketika berhibur di sebuah pusat hiburan di Pudu, di sini semalam.
Kedua-dua suspek antara 55 individu yang ditahan dalam serbuan dijalankan Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS) Bukit Aman kira-kira pukul 4 petang.
Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Sulizme Affendy Sulaiman berkata, kesemua individu yang ditahan berusia lingkungan 22 hingga 51 tahun.
Menurutnya, hasil ujian saringan air kencing mendapati 49 individu membabitkan 25 lelaki dan 17 wanita positif dadah.
“Dua anggota masing-masing seorang lelaki dan wanita positif dadah jenis eramin 5 dan ketamin.
“Sembilan lagi yang ditahan negatif dadah dan kesemua mereka dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi untuk tindakan lanjut,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, dua lagi individu turut ditahan membabitkan seorang lelaki dan wanita tempatan kerana memiliki dadah jenis erimin 5 sebanyak 0.59 gram dan ketamin (12.20 gram).
“Kesemua suspek direman di bawah Seksyen 117 Kanun Keseksaan Tatacara Jenayah dan Seksyen 12(2) serta Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952.
“Kertas siasatan tatatertib juga akan dibuka terhadap penjawat awam berkenaan,” jelasnya. – KOSMO! ONLINE