PURTAJAYA – Penyanyi dan hos Sissy Imann tidak terfikir untuk ‘demand’ atau menaikkan harganya selepas berjaya mengendalikan Anugerah Juara Lagu ke-39 (AJL39) dengan baik.
Meski ramai memuji, Sissy atau nama sebenarnya, Sissy Imann Mohammad Kamil, 30, berkata, harganya masih sama sementelah kerjaya seninya masih diuruskan ibu bapanya.
“Tak terfikir untuk ‘demand’ pun, harga juga masih sama. Bahkan saya terbuka untuk bekerjasama dengan orang baharu dan juga program berbeza selepas ini,” kata Sissy.
Dalam AJL39 yang berlangsung pada 16 Februari lalu, Sissy buat julung kalinya digandingkan dengan pengacara berpengalaman, Naz Rahman.
Biar dihujani ucapan tahniah usai acara AJL39 berakhir, Sissy mendedahkan dia tidak berani untuk membaca komen dalam media sosial.
“Sebenarnya selesai AJL39 saya takut sangat sampai tidak berani hendak melihat telefon. Sampailah saya pulang ke Malaysia, seorang kenalan memberitahu saya terima pujian.
“Selepas itu, barulah saya berani baca komen. Alhamdulillah, saya bersyukur orang boleh menerima cara saya mengacara,” jelas Sissy yang ditemui pada majlis pelancaran single raya terbaharu penyanyi Ara Johari, Zapin Malam Raya, semalam.
Tambah Sissy, selepas AJL39 dia dihujani tawaran mengacara program korporat seperti majlis makan malam, pelancaran produk dan ‘on ground event’.
“Walaupun banyak terima tawaran acara korporat, saya tidak berani untuk menjadi pengacara ‘on ground event’. Ramai yang kata rugi kerana pengacara acara sebegitu lebih mudah.
“Tetapi saya masih rasa tidak yakin kerana tidak pandai untuk berinteraksi dengan penonton. Pengacara televisyen dan acara langsung sebegitu sangat berbeza.
“Jika program televisyen, saya dibantu oleh pengurus pentas atau pengurus pentas yang akan menaikkan mood penonton. Jika acara korporat saya sendiri yang harus lakukan semua perkara, jadi saya belum ada keyakinan dan rasa takut lagi,” kata Sissy. – KOSMO! ONLINE