NEW DELHI – Beratus-ratus orang berpusu-pusu menggali tanah di sebuah ladang dekat sebuah kubu bersejarah di negeri Madhya Pradesh pada waktu malam untuk mencari emas selepas menonton filem Chhaava, lapor portal berita India Today semalam.
Sumber memberitahu agensi berita PTI bahawa orang ramai menyerbu kawasan itu susulan khabar angin tentang harta karun tersembunyi sejak zaman empayar Mughal. Kepercayaan itu dicetuskan dalam jalan cerita filem berkenaan.
Satu rakaman video memaparkan sejumlah orang menggunakan lampu suluh dan alat pengesan logam sambil menggali tanah untuk mencari emas.
Video tersebut menunjukkan orang ramai menggali dalam kegelapan selepas beberapa individu mendakwa bahawa mereka menemui syiling emas, walaupun tiada pengesahan rasmi dibuat.
Seorang ketua polis tempatan, Superintendan Devendra Patidar berkata: “Kami menyedari laporan itu dan sedang menyiasat. Jika ada yang ditangkap menggali secara haram, tindakan akan diambil.”
Polis tiba di lokasi itu pada waktu malam dan mendapati, tiada individu yang menggali.
Namun, pihak berkuasa menemui lubang yang baru digali tanpa sebarang tanda terdapat harta karun. – AGENSI