BANDAR GAZA – Sekurang-kurangnya tiga rakyat Palestin terbunuh apabila kereta kebal tentera Israel melepaskan tembakan secara intensif di samping serangan dron yang menyasarkan sekumpulan penduduk di Rafah, lapor portal berita The Palestine Chronicle semalam.
Serangan dron Israel menyasarkan orang awam di timur Rafah, selatan Semenanjung Gaza yang membunuh dua orang, lapor stesen televisyen Al-Jazeera.
Pada pagi semalam, mangsa ketiga dilaporkan terbunuh akibat serangan tentera pendudukan di kawasan kejiranan Al-Tannour, juga di timur Rafah.
Kawasan itu telah menyaksikan serangan Israel yang semakin sengit sejak beberapa hari kebelakangan ini.
Sementara itu, kereta kebal Rejim Zionis melepaskan tembakan di sekitar Lintasan Rafah, titik penting untuk bantuan kemanusiaan di selatan Semenanjung Gaza.
Keadaan masih kekal tegang apabila pengeboman berterusan di pelbagai bahagian di Gaza.
Pada masa sama, Israel menutup persimpangan Karam Abu Salem (Kerem Shalom) untuk hari ketujuh berturut-turut, seterusnya memburukkan lagi krisis kemanusiaan.
Penutupan itu berlaku di tengah-tengah rundingan gencatan senjata yang terhenti antara Hamas dengan Israel.
Program Makanan Sedunia (WFP) memberi amaran bahawa baki bekalan makanannya hanya akan bertahan kurang dua minggu.
Susulan itu, agensi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) tersebut terpaksa mengurangkan catuan makanan untuk mencapai seramai mungkin keluarga Palestin, sekali gus memburukkan lagi keadaan di wilayah itu. – AGENSI