fbpx

Sewa cuma RM150 sebulan, tapi ada yang duduk percuma sampai lima tahun

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
OPERASI mencabut pintu dilakukan MBS terhadap penyewa yang culas membayar sewa PPRT sehingga mencecah puluhan ribu ringgit. - Foto IHSAN MBS

SEREMBAN – Jumlah tunggakan bayaran sewa bulanan bagi dua Rumah Pangsa Kos Rendah (PPRT) di bawah seliaan Majlis Bandaraya Seremban (MBS) sehingga bulan lalu melebihi RM3 juta.

Datuk Bandar Seremban, Datuk Masri Razali berkata, ia melibatkan tunggakan sewa di PPRT Paroi berjumlah RM1.38 juta, manakala PPRT Lobak pula RM1.8 juta.

“Di PPRT Paroi, terdapat seramai 222 penyewa aktif daripada 344 unit yang disewakan dengan tunggakan RM597,977. Tunggakan tertinggi bagi satu unit adalah RM24,280.

“Di PPRT Lobak, sebanyak 139 unit disewakan dengan 116 penyewa aktif mempunyai tunggakan sebanyak RM950,245. Jumlah tunggakan tertinggi direkod di sebuah unit adalah RM33,829,” katanya, di sini hari ini.

OPERASI mencabut pintu dilakukan MBS terhadap penyewa yang culas membayar sewa PPRT sehingga mencecah puluhan ribu ringgit. – Foto IHSAN MBS

Masri berkata demikian bagi mengulas tindakan penguatkuasaan MBS mencabut pintu PPRT ke atas penyewa yang culas sehingga tunggakan mencecah puluhan ribu ringgit.

Jelas Masri, seramai 121 penyewa tidak lagi mendiami PPRT Paroi, namun masih mempunyai tunggakan terkumpul RM780,921.

“Manakala di PPRT Lobak, seramai 240 penyewa tidak aktif dengan jumlah tunggakan RM865,568. Rekod penyewa yang mempunyai tunggakan tertinggi adalah RM26,950,” katanya.

Beliau berkata, sewa bulanan bagi kedua-dua PPRT adalah RM150 sebulan, namun ada penyewa yang duduk percuma sekurang-kurangnya selama lima tahun tanpa membayar satu sen pun. – KOSMO! ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI