PETALING JAYA – Genap 11 tahun kehilangan misteri pesawat Malaysia Airlines 370 (MH370), waris mangsa menyifatkan tarikh 8 Mac merupakan hari yang masih ‘berat’ untuk dijalani.
Intan Maizura Othaman, 45, berkata walaupun sudah 4,018 hari Allahyarham Mohd. Hazrin Mohamed Hasnan berlepas, dia masih merindui suaminya yang juga seorang pramugara itu pada setiap detik dan waktu.
“Tak ada hari yang berlalu tanpa saya memikirkan awak. 8 Mac bukan hari biasa yang saya lalui. Ia adalah hari segala-galanya berubah.
“Hari ini akan selamanya ‘berat’. Tapi cinta saya buat awak takkan pernah pudar. Awak akan sentiasa ada dalam setiap degupan jantung, memori dan setiap masa saya menutup mata dan menyebut nama awak,” kata Intan menerusi hantaran Instagram.
Allahyarham Mohd. Hazrin merupakan salah seorang mangsa pesawat MH370 yang hilang tanpa jejak pada 8 Mac 2014 selepas berlepas dari Kuala Lumpur ke Beijing, China.
Pencarian pesawat yang membawa 227 penumpang dan 12 anak kapal itu berlanjutan ke tahun ke-11 ekoran petunjuk yang semakin samar.
Selepas hilang dari radar, operasi mencari dan menyelamat dimulakan di Laut China Selatan sebelum diperluas ke Selat Melaka keesokan hari selepas pesawat dipercayai berpatah balik.
Dalam pada itu, Intan Maizura yang juga ibu kepada dua cahaya mata itu berkata, suaminya itu adalah anugerah daripada Allah yang dipinjamkan sementara waktu.
Sambil memuat naik gambar sewaktu mereka sekeluarga meraikan Hari Raya Aidilfitri terakhir mereka, Intan Mahaizura juga berharap suatu hari nanti akan ‘dipertemukan’ semula dengan suaminya itu.
“Saya tahu tak semua benda adalah milik kita. Semuanya hanya pinjaman. Masa, cinta dan rasa sakit. Suatu masa semuanya akan dipulangkan. Hadiah yang paling bermakna buah saya adalah suami yang dipinjamkan, dan Allah ambil dia semula.
“Saya sayang awak dan rindu awak setiap hari. Sehingga kita berjumpa lagi insya-Allah,” katanya. – KOSMO! ONLINE