fbpx

‘Syukur kulit muka suami yang melecur terkopek sendiri’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Syura (kanan) bersama suaminya, Muhammad Farizat.

SHAH ALAM – Selepas insiden letupan gas di inap desa, penyanyi Syura Badron lega apabila keadaan suami semakin pulih dan perlahan-perlahan menjalani kehidupan seperti biasa.

Bagaimanapun, pemilik nama asal Zuraidah Badron, 39, mengakui suami terpaksa ingkar nasihat doktor yang meminta melindungi luka daripada terkena cahaya matahari untuk memenuhi tuntutan kerja.

“Kami bersyukur kulit muka suami yang melecur sudah terkopek sendiri dan nampak macam tiada apa-apa kesan. Mujur juga kami terima rawatan daripada doktor yang bagus.

“Cuma sepatutnya suami tidak boleh kena cahaya matahari langsung tetapi memandangkan luka sudah semakin sembuh, ada ketikanya suami ‘derhaka’ cakap doktor.

“Alhamdulillah, sekarang banyak festival makanan dianjurkan pada waktu malam. Dia hanya keluar petang jika terpaksa. Berniaga adalah punca rezeki, mahu atau tidak terpaksa ‘derhaka’ sesekali,” katanya kepada Kosmo! Online, baru-baru ini.

Berkongsi lanjut, pelantun lagu Nazam Berkasih itu mengakui masih fobia dengan kejadian terbabit sehingga dia dan suami lebih berhati-hati memeriksa ruangan dan pengaliran udara sebelum menyalakan dapur.

“Fobia masih ada, walau bukan saya yang kena letupan itu tapi saya berada di tempat kejadian. Suami apatah lagi, awal-awal dahulu dia sampai tidak boleh nyalakan dapur dan akan minta tolong pembantu buka api, barulah dia akan masak.

“Namun, insiden itu buat kami berhati-hati. Sebelum nyalakan dapur, kena periksa dahulu keadaan sekeliling terutama pengaliran udara.

“Kami ada juga beli dapur elektrik memang khas untuk suami tetapi dia kata tidak puas memasak di situ dan suhu masak dengan dapur elektrik berbeza dengan dapur biasa,” ujarnya.

Reda dengan ujian, Syura bagaimanapun enggan meminta pampasan daripada pemilik inap desa tersebut melainkan bayaran semula penginapan sepanjang di sana.

“Keluarga kami pun marah kerana kami tidak ambil apa-apa tindakan kepada pemilik rumah tetapi bagi kami, tidak boleh nak salahkan seratus peratus punca letupan kepada mereka.

“Sebab perkara tersebut terjadi di hari keempat kami di sana. Lagi pula pemilik rumah itu datang melawat suami di hospital dan minta maaf.

“Bagi saya itu sudah cukup. Cuma kami ada minta ‘refund’ (bayaran balik) sepanjang hari kami menginap di sana,” jelasnya.

Pada 25 November lalu, Syura berkongsi keadaan suaminya, Muhammad Farizat dimasukkan ke hospital selepas mengalami luka lecur yang teruk pada bahagian muka, kaki dan tangan.

Keadaan Farizat semakin beransur pulih malah pembalut di bahagian wajahnya sudah dibuka selepas menerima rawatan di sebuah hospital di Kuala Lumpur.

Difahamkan kejadian itu berlaku sewaktu mereka berada di sebuah rumah inap di Perlis.

Dia turut menafikan dakwaan segelintir pihak yang menuduhnya menggunakan dapur mudah alih sehingga menyebabkan letupan yang mencederakan suaminya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI