PETALING JAYA – Harga banglo milik usahawan kontroversi, Muhammad Sajjad Kamaruz Zaman atau Nur Sajat diturunkan lagi dalam usaha mencari pemilik baharu dengan kadar segera.
Sebelum ini, kediaman dua tingkat itu dilelong separuh harga iaitu RM4.68 juta berbanding nilai asalnya RM9.5 juta, namun kini ia akan dilelong sebanyak RM3.4 juta sahaja.
Menurut ejen hartanah yag dikenali sebagai Ishaq Marazi, beberapa hari lalu, banglo yang terletak di Seksyen 10, Petaling Jaya itu dilelong pada harga RM3.79 juta, namun tiada pembida.
“Next round (akan datang) akan lelong RM3.4 juta. Sedangkan dulu pemiliknya (Nur Sajat) beli pada harga RM7.5 juta,” katanya.
Ishaq berkata, antara faktor terbesar banglo tersebut dilelong murah adalah kerana rumah golongan kaya sememangnya sukar mendapat pembida.
Katanya, kebanyakan pembida yang juga golongan kaya mempunyai pemilihan dan cita rasa tersendiri dalam pembelian rumah.
“Mereka ini (golongan kaya) agak ‘detail’ (teliti) dari segi reka bentuk, susun atur, bahan dan lain lain. Mereka semua ada ‘taste’ (selera) masing-masing.
“Ada ramai pembeli hubungi kata nak tengok rumah, tapi malangnya rumah lelong tidak boleh tengok dalam rumah. Ini adalah faktor terbesar kenapa rumah lelong itu murah. Kadang kala (nilai) separuh harga sahaja,” katanya.
Dua tahun lalu, banglo itu pernah dilelong Sajat yang berhijrah ke Australia sejak Oktober 2021 pada harga RM9.5 juta, namun tiada pembeli.
Sajat kemudian menawarkan harga baharu bagi banglo mewahnya iaitu RM7 juta, namun masih belum dibeli oleh mana-mana pihak.
Banglo itu pada asalnya milik usahawan terkenal, Datuk Seri Aliff Syukri Kamaruddin dan kemudian dibeli Sajat pada tahun 2017 pada harga RM7.5 juta. – KOSMO! ONLINE