KUALA NERUS – Jabatan Perdana Menteri akan memperhebatkan usaha advokasi dan pendidikan bagi meningkatkan tahap keharmonian kaum negara ini hingga ke peringkat akar umbi.
Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dr. Zulkifli Hasan berkata, inisiatif tersebut akan melibatkan semua pihak bagi memastikan perpaduan yang dikecapi ketika ini dapat terus dinikmati.
“Secara dasarnya tahap perpaduan dan keharmonian rakyat berbilang kaum di negara ini masih berada pada tahap baik.
“Dalam kehidupan dunia realiti, rakyat tanpa mengira agama dan kaum sangat bertoleransi dalam urusan harian mereka, namun sebaliknya berlaku di media sosial terutama melibatkan isu hangat,” katanya di Hospital Sultan Zainal Abidin selepas merasmikan Multaqa Imam dan Guru Takmir Terengganu di sini hari ini.
Zulkifli berkata, setakat ini, tiada data atau kajian terperinci berhubung tahap keseriusan mengenai keharmonian kaum negara ini di media sosial. – KOSMO! ONLINE