BESUT – Seorang penunggang motosikal maut dirempuh kenderaan pelbagai guna, Toyota Avanza dalam kemalangan turut melibatkan melibatkan kereta Perodua Viva di Kampung Gong Jaga di sini malam tadi.
Dalam kemalangan pada pukul 7.10 malam itu, mangsa, Abdullah Yamin Abdullah, 25, yang cedera parah pada bahagian kepala dan beberapa anggota badan meninggal dunia ketika menerima rawatan di Hospital Besut di sini.
Pemangku Ketua Polis Daerah Besut, Deputi Superintenden Md. Sani Md. Saleh berkata, sewaktu kejadian, Abdullah Yamin dikatakan dalam perjalanan ke Kampung Tok Raja dari Alor Lintah di sini.
“Sebaik tiba di lokasi kejadian, motosikal jenis Yamaha Y15ZR yang dinaiki mangsa dikatakan tiba-tiba hilang kawalan lalu terbabas sebelum melanggar belakang sebuah kerera Perodua Viva.
“Impak perlanggaran tersebut menyebabkan mangsa tercampak ke laluan bertentangan,” katanya ketika dihubungi Kosmo! di sini hari ini.
Md. Sani berkata, tubuh Abdullah Yamin kemudiannya dirempuh sebuah kenderaan Toyota Avanza yang tidak sempat mengelak.
Beliau berkata, mangsa yang cedera parah dikejarkan ke Unit Kecemasan Hospital Besut sebelum menghembus nafas terakhir pada pukul 11.15 malam, manakala mayat mangsa telah dihantar ke unit forensik hospital sama untuk tindakan lanjut. – KOSMO! ONLINE