fbpx

Penglibatan wanita dalam sektor swasta, GLC masih kecil

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Anwar merasmikan Sambutan Hari Wanita Antarabangsa 2025 di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur hari ini. - Foto oleh SHIDDIEQIIN ZON / KOSMO!

KUALA LUMPUR – Sektor swasta dan syarikat berkaitan kerajaan perlu menilai penglibatan pekerja wanita di peringkat pengurusan tertinggi yang disifatkan masih terlalu kecil dan tidak mencukupi.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, Jemaah Menteri akan meminta perkara itu supaya diberi perhatian dan mendapatkan laporan mengenai penglibatan wanita.

“Kerajaan tidak boleh memaksa sektor swasta, namun ia perlu memiliki perancangan yang teliti.

“Saya gesa bahawa sektor swasta, harus ada tanggungjawab. Sektor swasta terutama syarikat besar dan syarikat berkaitan kerajaan harus mulai membuat penilaian,” katanya pada sambutan Hari Wanita Antarabangsa 2025 di Pusat Dagangan Antarabangsa Kuala Lumpur (WTCKL) di sini hari ini.

Sektor swasta merekodkan kira-kira 26 peratus penglibatan wanita dalam pengurusan tertinggi, berbanding sektor awam sebanyak 38 peratus.

Bagi sektor awam, Anwar meminta Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar untuk mencari jalan bagi meningkatkan kedudukan wanita dalam pengurusan tertinggi, setimpal dengan keupayaan mereka.

Jelasnya, walaupun terdapat peningkatan wanita dalam pengurusan tertinggi di sektor awa, namun ia masih boleh diperbaiki.

“Kita tidak pilih wanita kerana kebetulan dia wanita. Kita pilih kerana mereka mempunyai peluang dan kewibawaan dengan prestasi yang cemerlang.

“Mereka tidak harus disisih atau ditinggalkan semata-mata kerana kebetulan adalah wanita,” katanya.

Perdana Menteri turut menekankan penyertaan wanita dalam arena politik terutama bilangan golongan itu dalam Dewan Rakyat iaitu sebanyak 14 peratus dengan sasaran nasional sekurang-kurangnya 30 peratus. – KOSMO! ONLINE.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI