PETALING JAYA – Polis Diraja Malaysia (PDRM) menjalankan siasatan ke atas akaun TikTok yang didakwa menyebarkan fitnah terhadap Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkaitan siasatan rasuah membabitkan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.
Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain berkata, pihaknya menerima laporan daripada wakil badan bukan kerajaan (NGO) yang dibuat di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi di sini pada pukul 12.06 tengah hari semalam.
Katanya, pengadu menyatakan dia melihat video itu dimuat naik di TikTok Gobalakrishnan, kelmarin.
“Siasatan dijalankan mengikut Seksyen 500 Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998,” katanya hari ini.
Beliau berkata, pihaknya akan bekerjasama dengan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) bagi mengenal pasti pemilik akaun TikTok tersebut.
Terdahulu, tular video di TikTok yang dikesan membuat kenyataan membabitkan Anwar dan Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail yang mengaitkan mereka dengan isu rasuah Ahli Parlimen.
Individu itu mendakwa sekiranya Ahli Parlimen terbabit menyokong kerajaan, kes berkenaan akan digugurkan dan disiasat jika sebaliknya. – KOSMO! ONLINE