fbpx

PATI Myanmar dicekup, tak sempat lari masuk Thailand

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Anggota tentera menahan seorang PATI warga Myanmar (duduk, tengah) di tebing Sungai Golok dekat Tanah Merah semalam. FOTO IHSAN DUA DIVISYEN

TANAH MERAH – Seorang pendatang asing tanpa izin (PATI) warga Myanmar tidak sempat memasuki Thailand melalui pangkalan haram selepas dicekup semasa berada di tebing Sungai Golok di sini semalam.

Lelaki itu ditahan di kawasan itu kira-kira pukul 3.30 petang semasa sedang menunggu seorang ejen atau tekong darat yang dikenalinya menerusi media sosial.

Markas Divisyen Kedua Infantri Malaysia (Dua Divisyen) dalam satu kenyataan berkata, anggota tentera menahan suspek selepas mendapati lelaki itu berada dalam keadaan mencurigakan tebing Sungai Golok.

“Siasatan mendapati suspek merupakan warga Myanmar yang sedang menunggu bot untuk membawanya menyeberangi Sungai Golok memasuki Thailand.

“PATI itu memaklumkan bahawa perjalanannya untuk memasuki Thailand telah diuruskan oleh seorang ejen yang dikenali melalui media sosial dengan sejumlah bayaran yang telah ditetapkan,” ujarnya.

Menurut kenyataan itu, suspek turut memaklumkan dia memasuki negara ini melalui laluan tidak sah dengan bantuan ejen yang tidak dikenali dan telah bekerja di sekitar Gua Musang dekat sini sejak setahun lalu.

Katanya, barangan peribadi yang dianggarkan bernilai RM1,565 turut ditemui bersama PATI itu.

“Suspek diserahkan kepada Ibu Pejabat Polis Daerah Tanah Merah untuk tindakan selanjutnya,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI