PETALING JAYA – “Ketika kita berhenti sejenak untuk mengenang peristiwa ini, hati kami bersama semua ahli keluarga dan rakan-rakan yang masih berduka atas kehilangan ini.”
Itu antara ucapan oleh Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) sempena genap 11 tahun kehilangan pesawat Malaysia Airlines 370 (MH370), hari ini.
CAAM menerusi kenyataan di laman sosialnya turut meletakkan tanda pagar #TeamCAAM dan #Remembering MH370 pada hantaran tersebut.
“Bersama-sama, kita menghormati kenangan mereka dan menyimpannya dekat di dalam ingatan,” kata kenyataan sama.
Terdahulu Kosmo! melaporkan, waris mangsa menyifatkan tarikh 8 Mac merupakan hari yang masih ‘berat’ untuk dijalani.
Intan Maizura Othaman, 45, berkata walaupun sudah 4,018 hari Allahyarham Mohd. Hazrin Mohamed Hasnan berlepas, dia masih merindui suaminya yang juga seorang pramugara pesawat itu pada setiap detik dan waktu.
Pada 8 Mac 2014, pesawat Boeing 777 yang membawa seramai 239 penumpang termasuk anak kapal itu berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur ke Beijing, namun hilang daripada skrin radar dua jam selepas penerbangan.
Susulan itu, operasi mencari dan menyelamat digerakkan secara besar-besaran oleh beberapa negara di kawasan berkeluasan jutaan kilometer persegi di selatan Lautan Hindi namun bangkai atau pesawat berkenaan gagal ditemui sehingga kini. – KOSMO! ONLINE