ALOR GAJAH – Sebuah lori tangki membawa muatan diesel dan petrol sebanyak 22,000 liter terbabas sebelum terbalik di Lebuh Alor Gajah-Melaka Tengah-Jasin (AMJ) dekat Taman Mutiara di sini semalam.
Dalam kejadian pukul 6.10 petang itu, pemandu lori, Kamaruddin bin Giran, 63, hanya luka ringan di kepala dan sakit pinggang selepas kenderaan berat dipandunya hilang kawalan ketika membelok di persimpangan lampu isyarat.
Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Superintendan Ashari Abu Samah berkata, ketika kejadian lori tangki itu dalam perjalanan dari Port Dickson menghala ke stesen minyak Petron Masjid Tanah.
“Siasatan awal mendapati, lori itu yang berada di lorong kanan hilang kawalan ketika membelok sebelum terbabas dan melanggar pembahagi jalan. Lori itu kemudian terbalik di lorong susur masuk dari arah Bandar Melaka.
“Pemandu lori yang cedera dibawa ke Hospital Alor Gajah dan menerima rawatan sebagai pesakit luar. Tiada kebocoran atau tumpahan bahan api dilaporkan di lokasi kejadian,” katanya kepada pemberita hari ini.
Dalam pada itu, Balai Trafik Alor Gajah mengeluarkan saman ke atas pemandu lori atas kesalahan gagal mengawal kenderaan sehingga menyebabkan kemalangan. – KOSMO! ONLINE