KOTA BHARU – Seorang pendatang asing tanpa izin (PATI) etnik Rohingya dicekup ketika cuba melarikan kereta sorong bersama buah kelapa bernilai RM200 milik pasangan suami isteri warga emas di Kampung Padang Kala di sini hari ini.
Lelaki berusia dalam lingkungan 30-an itu diberkas pada pukul 9.30 pagi oleh beberapa penduduk selepas dia bertindak mengacukan parang kepada orang ramai yang cuba menangkapnya.
Seorang penduduk dikenali sebagai Mat, 50, berkata, sebelum kejadian, pasangan warga emas yang berusia dalam lingkungan 70-an itu sedang memetik lebih 50 biji kelapa di kebun mereka.
“PATI itu cuba melarikan kereta sorong berisi kelapa. Dia yang mempunyai senjata parang cuba menyerang beberapa penduduk kerana menghalangnya.
“Lelaki itu berjaya ditahan selepas bergelut dengan penduduk kampung sebelum diserahkan kepada pihak polis,” katanya ketika ditemui Kosmo! Online di Kampung Padang Kala hari ini.
Mat memberitahu, lelaki asing itu pernah beberapa kali dilihat berada di kawasan kebun berkenaan dalam keadaan mencurigakan dan sering berkelakuan ganas selain cuba mengancam serta mengugut penduduk kampung dengan parang. – KOSMO! ONLINE