POKOK SENA – Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) berjaya mengesan individu yang menggunakan MyKad palsu untuk membeli iPhone 16 Promax 1 TB menerusi pembiayaan pinjaman sebuah syarikat pinjaman berlesen di sebuah kedai di Cheras.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, JPN menerima laporan daripada pengadu yang sebelum itu membuat hantaran di media sosial berhubung MyKad miliknya diklon.
Katanya, pengadu mendakwa MyKad miliknya pernah hilang beberapa tahun lalu dan membuat laporan kepada pihak polis serta JPN.
“Bertindak atas aduan itu, JPN melakukan risikan dan satu tangkapan dilakukan ke atas seorang lelaki berusia 35 tahun di satu lokasi di Kampung Pandan, Kuala Lumpur kira-kira pukul 7.30 malam semalam.
“Siasatan awal setakat ini bila kita buat pemeriksaan badan, kita telah jumpa satu lagi MyKad palsu di dalam dompet dia (suspek),” katanya pada sidang akhbar selepas menghadiri Program Penerapan Nilai-nilai Murni bersama Menteri Dalam Negeri di Masjid Ar-Raudhah, di sini hari ini.

Ketika ditanya sama ada terdapat penglibatan sindiket dalam kes tersebut, kata beliau, siasatan berhubung perkara itu masih dilakukan dan tidak menolak kemungkinan akan melakukan tangkapan susulan berdasarkan hasil soal siasat ke atas suspek.
Tambahnya, suspek dibawa ke Mahkamah Majistret pada hari ini untuk direman dengan siasatan dilakukan mengikut Peraturan 25(1)(e) dan 25(1)(o) Peraturan Pendaftaran Negara 1990 yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum tiga tahun atau denda tidak melebihi RM20,000, atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.
Kosmo! Online semalam melaporkan seorang lelaki terkejut apabila mendapati terdapat rekod pembelian iPhone 16 Promax 1 TB di sebuah kedai di Cheras menerusi pembiayaan pinjaman sebuah syarikat pinjaman berlesen menggunakan MyKad miliknya yang diklon.
Mohamad Hafis Aliaziz berkata, perbuatan itu dapat dikesan ketika dia mahu menyemak jumlah mata ganjaran oleh syarikat berkenaan menerusi aplikasi.
“Aku tahu MyKad kena klon ni bila aku semak dalam aplikasi, tiba-tiba ada pinjaman beli Iphone 16 Promax 1 TB lebih RM14,000.
“Tahun 2013, aku pernah hilang MyKad bila rumah kena masuk pencuri. Dompet dan telefon hilang. Jadi aku ada buat laporan tentang kes tu dulu,” katanya menerusi media sosial.
Namun katanya, kisah itu muncul kembali apabila terdapat penggunaan MyKad miliknya tetapi dengan wajah orang lain.
“Orang tu dah ‘tepek’ gambar dia di MyKad aku dan guna untuk beli IPhone 16 Promax 1 TB di sebuah kedai di Cheras secara pembiayaan pinjaman.
“Lepas aku buat laporan dekat kedai dan syarikat terbabit, terkejut (mereka) tengok gambar MyKad aku berwajah orang lain,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE