MARAN – Harga kuih tradisional Pahang iaitu ‘tiga beradik’ yang melibatkan kuih pepena, badak kubang dan dodol kukus meningkat berikutan kenaikan harga santan dan kesukaran mendapatkan kelapa pada masa ini.
Bagaimanapun kenaikan harga kuih tradisional berkenaan tidak menjejaskan jualan kerana permintaan terus meningkat khususnya pada Ramadan.
Pengusaha kuih tradisional dari Bukit Resak, Chenor di sini, Rogayah Chik atau lebih dikenali Mokyoh, 53, berkata, dia terpaksa menaikkan harga jualan kuih tersebut sebanyak 50 sen, iaitu daripada RM2.50 kepada RM3 sekeping bagi menampung kos bahan mentah yang semakin meningkat.
“Telah menjadi tradisi penduduk di negeri ini, setiap kali menjelang bulan Ramadan kuih ini pasti menjadi rebutan. Walaupun harga naik, permintaan terhadap kuih tradisional Pahang ini tetap tinggi.
“Saya juga menawarkan harga yang berpatutan kerana dimaklumkan ada sesetengah peniaga lain yang menjual pada harga antara RM3.50 hingga RM4 sekeping,” katanya di sini semalam.
Rogayah berkata, selain harga santan yang semakin mahal, bekalan kelapa juga semakin sukar diperoleh, menyebabkan jumlah kuih yang dihasilkannya berkurang berbanding tahun lalu.
Menurutnya, pada awal Ramadan ini dia hanya mampu membuat sekitar 60 keping kuih sahaja sehari, berbanding 120 hingga 150 keping pada Ramadan tahun lalu.
“Kenaikan harga bahan mentah seperti santan dan kelapa memberi tekanan kepada peniaga kecil seperti saya.
“Namun saya tetap berusaha mengekalkan kualiti rasa kuih tradisional itu demi memenuhi permintaan para pelanggan,” katanya.
Berkongsi kisah perniagaan kuih tradisional yang diusahakannya sejak lebih 13 tahun lalu, Rogayah berkata, setiap hari dia memulakan proses membuat kuih tradisional itu bermula pukul 9 pagi dengan dibantu dua anaknya, Nurul Amirah Hashim, 37, dan Nurul Aimi Sakinah, 33.