MARANELLO – Pelumba Ferrari, Charles Leclerc mendedahkan bahawa gaya pemanduannya dengan Lewis Hamilton lebih kurang sama selepas menyertai beberapa sesi latihan bersama.
Hamilton yang menyertai Ferrari pada Januari lalu, kini dalam proses menyesuaikan diri untuk mengenali lebih dekat jentera SF-25 sebelum turun bersaing pada aksi pembuka tirai di Grand Prix (GP) Australia di Litar Albert Park, Melbourne minggu depan.
Menurut Leclerc, keserasian mereka dalam aspek pemanduan boleh menjadi satu kelebihan besar buat Ferrari dalam usaha kembali ke puncak kejuaraan.
“Saya agak terkejut kerana gaya pemanduan kami sangat serupa. Kami berdua suka menolak had maksimum terutamanya ketika memasuki selekoh,” kata Leclerc.
Bagi pelumba berusia 27 tahun itu, keserasian ini membolehkan mereka memberikan maklum balas yang tepat kepada pasukan kejuruteraan, sekali gus membantu mempercepatkan proses pembangunan jentera.
“Ini satu perkara positif kerana kami memerlukan perkara yang sama daripada kereta. Sebagai satu pasukan, ini akan membantu kami untuk bergerak ke arah yang betul
“Saya tak sabar untuk berlumba dengan Hamton dan berharap kami dapat membawa Ferrari kembali ke puncak,” tambahnya.
Ferrari kini bersedia untuk memulakan musim baharu dengan penuh harapan dan gandingan Leclerc-Hamilton dijangka menjadi antara tumpuan utama dalam perebutan kejuaraan dunia tahun ini. – AGENSI