LONDON – Pasukan Nottingham Forest mengukuhkan status ‘pembunuh gergasi’ apabila menewaskan juara bertahan, Manchester City 1-0 pada aksi Liga Perdana Inggeris (EPL) di Stadium City Ground sebentar tadi.
Pada perlawanan itu, skuad Forest kendalian Nuno Espirito Santo mengekalkan kesebelasan yang sama ketika pasukan mengikat Arsenal 0-0 pada aksi terakhir EPL sebelum ini dengan Chris Wood kekal mengetuai jentera serangan.
City yang dibimbing Pep Guardiola pula mempertaruhkan gandingan Erling Haaland, Savinho dan Jeremy Doku untuk merobek gawang Forest.
Peluang terbaik hadir buat City seawal minit ke-14 tetapi rembatan pemain tengah, Nico Gonzalez sedikit tersasar selepas menerima umpanan tepat Doku.
Bersambung pada babak kedua, Forest yang dilihat bertahan pada sebahagian besar 45 minit mula mengatur serangan dengan pemain sayap, Callum Hudson-Odoi berjaya melakukan rembatan tepat sebelum ditepis penjaga gol pelawat pada minit ke-68.
Situasi itu menaikkan semangat Hudson-Odoi untuk mengulangi magis yang sama dan kali ini rembatannya berjaya menggegar jaring pada minit ke-83 untuk menghadiahkan kemenangan bermakna buat tuan rumah.
Keputusan 1-0 kekal sehingga wisel penamat sekali gus menyaksikan Forest mengesahkan status selaku ‘Top 3’ EPL musim ini dengan 51 mata manakala City kekal dengan 47 mata. – AGENSI