fbpx

Ada pengkhianat, video RSN Rayer di Parlimen versi disunting 5 saat – Peguam

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Mahmud (gambar kecil) berkata, klip yang dimainkan RSN Rayer di Parlimen dan majoriti komentar pempengaruh India di TikTok, telah disunting setakat lima saat ketika disebut 'wei-wei' sahaja.

PETALING JAYA – “Siasat siapakah pengkhianat yang menyunting video lima saat sehingga wujudnya ketegangan antara kita semua.”

Itu persoalan dibangkitkan seorang peguam, Mahmud Jumaat selepas mengadakan pertemuan dengan Azad Jasmin atau Pak Azad bagi mendapatkan penjelasan mengenai kejadian yang berlaku dalam konti stesen radio Era FM, baru-baru ini.

Beliau berkata, jika diteliti klip video yang dimainkan oleh Ahli Parlimen Jelutong, RSN Rayer di Parlimen dan majoriti komentar pempengaruh India di TikTok, ia telah disunting setakat lima saat ketika disebut ‘wei-wei’ sahaja.

“Kedua, jelas ada pihak menjadi batu api dengan sengaja hanya menyunting bahagian yang menyebut seolah-olah ‘wei-wei’.

“Apakah RSN Rayer mendapat klip penuh video ini? Sekiranya benar, mengapa hanya bahagian klip ini sahaja dimainkan berulang kali di Parlimen?,” soalnya.

Beliau turut mempersoalkan tindakan pihak-pihak tertentu yang hanya memainkan video lima saat yang disunting itu di media sosial, bukan klip penuh.

“Ketiga, sila semak semula, hanya bahagian disunting lima saat ini sahaja yang dikongsikan dan dimainkan di media sosial untuk menyemarakkan kemarahan kaum India sehingga timbul salah faham dan tidak puas hati kepada ketiga-tiga penyampai radio Era.

“Sampailah netizen yang prihatin bantu mereka dan mengeluarkan klip video penuh untuk meredakan kemarahan dan salah faham antara pihak-pihak,” ujarnya.

Selain serupa dengan tarian ‘entrance’ (pembukaan) Miki Ghazali dan Pak Azad sendiri yang tag jaguh Muay Thai itu pada klip tersebut, katanya, tarian pemain bola West Ham United juga ada berbunyi sebutan ‘wei wei’.

“Sebutan ‘wei-wei’ itu serupa dengan klip video kita yang kedengaran ketika menari Paqueta. Kelima, mengapa perlu video itu disunting sekiranya mereka benar-benar ingin mencari kebenaran?

“Saya percaya jika ambil video itu secara penuh dari awal, mereka akan kantoi yang tarian dibuat oleh Pak Azad semata-mata untuk meniru tarian Miki sebab ada latar belakang lagu Paqueta yang jelas kedengaran,” jelasnya.

Tambah Mahmud, ‘kantoi’ juga yang mereka gelakkan bukan sebab ada pihak yang menyebut perkataan ‘wei-wei’, sebaliknya tarian Pak Azad yang lucu meniru Miki.

“Pada dapatan saya, terdapat salah faham yang jelas dalam kes ini dan ada pihak cuba menganiaya, mengkhianati serta memfitnah ketiga-tiga penyampai ini,” terangnya.

Mahmud menegaskan, tujuan beliau menerangkan secara terperinci tentang kes itu adalah untuk meredakan ketegangan yang berlaku antara rakyat Malaysia sebagai satu keluarga di Malaysia.

“Ramai sahabat-sahabat India yang saya anggap seperti uncle (pak cik), kakak atau abang sendiri. Saya sangat marah apabila mengetahui adanya komplot dan agenda jahat sesetengah pihak cuba menjadikan ini sebagai isu perkauman.

“Saya harap penjelasan di atas dapat membuktikan bahawa kita semua ditipu dan diperdaya oleh agenda jahat yang cuba memecahbelahkan kita sebagai satu keluarga harmoni!,” luahnya.

Susulan itu, Mahmud menyarankan supaya pihak polis menyiasat dalang yang menyunting video berkenaan sehingga mencetuskan ketegangan.

“Saya sarankan kepada Polis Diraja Malaysia, daripada siasat tiga penyampai radio ini, sebaiknya siasat siapakah dalang yang menyunting video dan menghasut orang ramai terutamanya kaum India sehingga wujudnya salah faham antara kita semua!,” tegasnya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI