RIYADH – Seramai 500,000 jemaah umrah memasuki Masjidil Haram di kota suci Mekah pada Khamis lalu sekali gus mencipta rekod baharu bilangan jemaah paling ramai dalam satu hari, lapor portal berita Gulf News semalam.
Pejabat Presiden Umum bagi Hal Ehwal Masjidil Haram dan Masjid Nabawi mengumumkan pencapaian baharu tersebut.
Pihak berkuasa Arab Saudi berkata, kejayaan itu dicapai disebabkan oleh sistem pengurusan orang ramai bersepadu yang menggunakan kecerdasan buatan (AI) dan data sensor masa nyata.
Ia berjaya mengoptimumkan pergerakan jemaah di zon kritikal seperti Mataf dan Mas’a.
Mataf ialah kawasan tawaf yang mengelilingi Kaabah dan Mas’a merupakan kawasan antara Safa dan Marwah.
Sejak 2022, jemaah umrah tahunan telah melonjak sebanyak 58 peratus, demikian menurut laman web The Islamic Information.
Pencapaian tersebut didorong oleh pelaburan berterusan berjumlah AS$1.3 billion (RM5.7 bilion) dalam menaik taraf infrastruktur di tanah suci umat Islam itu, lapornya. – AGENSI