JOHOR BAHRU – Jabatan Kesihatan Negeri Johor (JKNJ) tidak menerima sebarang laporan berhubung penularan wabak penyakit kusta di seluruh negeri, setakat ini.
Pengarah Kesihatan Johor, Dr. Mokhtar Pungut bagaimanapun berkata, pegawai JKNJ akan terus membuat pemantauan bagi memastikan tahap kesihatan awam di negeri ini terjamin.
“Setakat ini, kita tidak terima sebarang aduan melibatkan penyakit kusta di Johor, namun pemantauan teliti dan berterusan akan dibuat dari masa ke semasa.
“Sekiranya ada, JKNJ akan mengambil langkah pencegahan sewajar mengikut arahan Kementerian Kesihatan (KKM),” katanya kepada pemberita selepas melawat Bazar Ramadan di pusat beli belah Angsana Johor Bahru Mall, di sini semalam.
Minggu lalu media melaporkan sebanyak lima kes telah dikesan di beberapa daerah di negeri Selangor selain sembilan kes di Negeri Sembilan.-KOSMO! ONLINE