“ADA banyak benda saya nak buat untuk diri sendiri dan ‘cut down’, usia pun sudah hampir masuk 40 tahun.”
Demikian manifesto hidup aktor, Zul Ariffin apabila dilayangkan pertanyaan tentang kehidupannya ketika ini terutama apabila bakal memasuki usia 40 tahun.
Bukan sahaja tentang kerjaya, dia sememangnya tidak akan terlepas daripada ditanya mengenai kehidupan peribadi dan perkahwinan.
“Alhamdulillah ramai juga rakan seperjuangan sudah berkahwin, saya tumpang gembira.
“Sebenarnya saya juga tak mahu beri jawapan yang boleh mengguris hati mana-mana pihak.
“Kalau pihak media tanya pun (tentang kahwin), orang cakap saya ‘sembang’ tapi memang masih tiada jawapan yang tepat sehingga hari ini,” katanya kepada HibGlam baru-baru ini.
Menurutnya, banyak perubahan mahu dilakukannya pada tahun ini yang dianggap fasa kritikal sebelum usia memasuki angka 40.
“Sekarang pun usia sudah 39 dan tahun depan 40. Banyak perubahan saya nak lakukan dalam hidup sebelum masuk 40 tahun, tahun ini paling kritikal.
“Jadi, menjelang umur 40, banyak benda kena ‘cut down’ (buang). Itu janji pada diri sendiri.
“Saya tak mahu orang cakap ‘usia sudah 40 tahun tapi perangai tak berubah juga’. Saya tak mahu jadi benda itu,” kata pemilik nama penuh Zulkifli Ariffin itu.
Pelakon drama Perempuan Itu menambah, antara perubahan hidup yang dilaluinya ialah diberi kesempatan ke Tanah Suci beberapa kali dan perubahan genre filem lakonannya.
“Tanpa sedar banyak yang sudah berlaku sebenarnya termasuk Allah SWT beri peluang berkali-kali kepada saya untuk menjejakkan kaki ke Tanah Suci.
“Kemudian genre filem yang saya berlakon sejak beberapa tahun lepas pun sudah berbeza, bukan lagi jenis-jenis sebelum ini (romantik),” tuturnya.
Dalam pada itu, Zul berkata, dia memilih untuk enggan menghebahkan setiap perubahan yang dilakukannya dan hanya membiarkan orang luar membuat penilaian sendiri.
“Saya bukan orang yang suka umum semua itu tetapi buat perlahan-lahan sehingga menjadi ‘solid’.
“Umur sekarang bukan lagi fasa ragu-ragu dan tahun ini saya dedikasikan untuk lebih banyak perubahan untuk diri sendiri termasuk secara dalaman.
“Pada usia sekarang, kesihatan jadi keutamaan ditambah pula banyak juga kecederaan saya alami sepanjang penggambaran filem cuma tak cerita dan kongsi dalam media sosial.
“Insya-Allah doakan semuanya, kalau cakap lebih-lebih nanti dikatakan poyo pula bunyinya,” jelasnya.
Beralih perihal kerjaya seni, anak kelahiran Taiping, Perak itu meluahkan rasa syukur kerana dirinya masih menjadi pilihan penerbit dan pengarah untuk membintangi sesebuah naskhah.
Terbaharu, dia bakal muncul dengan filem Wantugo yang turut dibarisi Sein Qudsi, Meerqeen, Sky Iskandar, Daiyan Trisha, Elizabeth Tan, Nia Atasha dan Yusof Hashim (Ucop).
Katanya, hatinya tertarik untuk terlibat dalam Wantugo kerana jalan cerita yang belum pernah dihasilkan di Malaysia iaitu tentang pertempuran dalam sebuah permainan.
“Konsep cerita seperti ini mungkin sudah banyak di luar negara, tetapi di Malaysia, masih baru.
“Itu yang membuatkan saya kata ya dan lebih berminat untuk terlibat,” ujarnya.
Berkongsi layar dengan barisan pelakon meningkat naik, Zul mengakui energi yang diberikan mereka sepanjang tempoh penggambaran sangat hebat.
“Majoriti pelakon yang terlibat memang saya tak pernah bekerja sekali kecuali Elizabeth.
“Setakat ini, semuanya okey, energi mereka hebat, orang muda pula. Insya-Allah projek ini beri hasil hebat.
“Namun, dalam sebuah projek, tiada istilah siapa lebih berpengalaman, semua perlu beri input masing-masing maka akan terhasil sesuatu yang bagus,” ujarnya yang bakal memulakan penggambaran Sheriff 2 selepas Hari Raya Aidilfitri nanti.