KUALA LUMPUR – Seorang lelaki didakwa di Mahkamah Majistret di sini hari ini atas pertuduhan membunuh kanak-kanak lelaki yang juga anak asuhan isterinya di sebuah hotel Februari lalu.
Bagaimanapun tiada pengakuan direkodkan daripada tertuduh Muhammad Syafiq Daniel Osman, 26, selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Amira Abd. Aziz kerana kes bunuh dibawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.
Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa telah membunuh Muhammad Shakir Firman Mohammad Firdaus yang berusia lima tahun lapan bulan di sebuah bilik hotel di Jalan Ipoh di sini antara pukul 1.15 pagi hingga 7.15 pagi pada 3 Februari lalu (2025).
Justeru pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman gantung sampai mati atau penjara maksimum 40 tahun dan sebatan minimum 12 kali, jika sabit kesalahan.
Semasa prosiding pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Ravindejit Kaur.
Mahkamah kemudian menetapkan sebutan semula kes 26 Mei ini.
Sementara itu di Mahkamah Sesyen isteri Muhammad Syafiq, yang juga pengasuh didakwa dan mengaku tidak bersalah atas pertuduhan menganiaya kanak-kanak sama.
Mengikut pertuduhan, tertuduh Nur Nilam Kamaruddin, 26, didakwa sebagai penjaga kepada kanak-kanak itu, telah menganiayainya sehingga menyebabkan kecederaan fizikal.
Kesalahan itu didakwa dilakukan di sebuah unit PPR di Jalan Silang di sini pukul 9 malam pada 25 Februari lalu yang didakwa mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001.
Hukuman bagi seksyen itu memperuntukkan denda tidak lebih RM50,000 atau pemenjaraan tidak lebih 20 tahun atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.
Terdahulu Timbalan Pendakwa Raya Joshua Tee Yee Khuan tidak menawarkan sebarang jaminan berikutan mangsa dalam kes ini telah meninggal dunia selain kes yang amat serius.
“Namun terpulang kepada budi bicara mahkamah sekiranya membenarkan untuk tertuduh diikat jamin,” katanya.
Bagaimanapun tertuduh yang tidak diwakili peguam memohon diberikan ikat jamin dengan alasan mempunyai anak yang bersekolah dan sedang mengandung.
Selepas mendengar permohonan kedua-dua belah pihak, Hakim Siti Syakirah Mohtarudin kemudian membenarkan
Nur Nilam diikat jamin RM10,000 dengan seorang penjamin berserta syarat tambahan melapor diri di balai polis berdekatan sebulan sekali hingga kes selesai.
Tarikh 9 April ini ditetapkan sebutan semula kes.
Sebelum ini, media melaporkan sepasang suami isteri ditahan kerana disyaki mendera seorang kanak-kanak lelaki berusia enam tahun sehingga menyebabkan kematian di Kepong.
Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Rusdi Mohd. Isa berkata, pihaknya menerima laporan daripada pegawai perubatan berusia 37 tahun kira-kira jam 7.30 pagi berhubung kejadian terbabit.
“Mangsa dibawa ke hospital dalam keadaan tidak sedarkan diri oleh pengasuh wanita.
“Hasil bedah siasat menemukan kira-kira 20 kecederaan pada kepala, badan, tangan dan kaki dipercayai akibat hentakan benda tumpul,” kata Rusdi.
Rusdi berkata, susulan itu, pengasuh dan suaminya berusia 25 tahun dan siasatan awal mendapati mangsa dijaga oleh pengasuh wanita terbabit sejak dua bulan lalu dengan bayaran kira-kira RM800.
Beliau berkata, maklumat awal mendapati ibu bapa mangsa telah bercerai. – KOSMO! ONLINE