PETALING JAYA – Seorang wanita berang apabila mendakwa juadah pemanis mulut yang dibeli di sebuah bazar Ramadan di sekitar Tiram, Johor, untuk berbuka puasa telah basi.
Klip video yang memaparkan puding buah tersebut berada dalam keadaan berlendir membuktikan makanan tersebut sudah tidak elok untuk dimakan.
Menurut perkongsian pemilik akaun Tik tok Yana D’azmi, perkara tersebut bukan kali pertama yang terjadi kepadanya, malah itu merupakan kali kedua yang menimpa dirinya.
“Semalam beli pun masam, hari ini beli lagi, kedai lain pun masam,” tulisnya dalam video tersebut.
Dia turut berkata sudah serik untuk membeli ‘pencuci mulut’ tersebut di bazar lagi kerana khuatir kejadian itu berulang lagi.
Meninjau ruangan komen, rata-rata netizen turut berkongsi pengalaman mereka terkena juadah manisan yang basi.
“Baru kena semalam beli ‘buko’ kat dessert di bazar taman suria berlendir, tadi datang balik nak kembalikan bos dia buang kes dan minta pekerjanya selesaikan,” komen ain.
“Selalunya kalau dah berlendir yang dah 3 hari ke atas, cara penyimpanan dalam kotak ke atas,” tambah Cik Ema Said. – KOSMO! ONLINE