HADIR dengan album baharu berjudul Glorious, penyanyi bersuara lantang Jaclyn Victor tidak menyangka perjalanan seninya sebagai seorang pemuzik sudah melangkaui angka 20 tahun.
Jaclyn atau nama sebenarnya, Jaclyn Joshua Thanaraj Victor berkata, dalam tempoh yang panjang tersebut bermacam cabaran sudah dilaluinya, namun dia masih teguh berdiri sehingga hari ini.
“Album Glorious saya buat sendiri, keluar duit sendiri, label sendiri. Sebab itu, album ini sangat bermakna secara peribadi.
“Bukan sebab keluar duit sendiri, saya bekerja dengan kawan-kawan baik dalam demi merealisasikan Glorious,” katanya seraya mendedahkan terpaksa berulang-alik dari Kuala Lumpur dan New York, Amerika Syarikat untuk album baharu.
Mengandungi sembilan trek, Jaclyn juga bekerjasama dengan Amir Jahari menerusi lagu Lepaskan Sahaja, Kejutkan Aku dan Racun. Katanya, bekerja dengan Amir merupakan satu pengalaman luar biasa.
“Kesemua lagu dalam album memang kegemaran saya secara peribadi. Tapi kalau ditanya mana satu yang akan dijadikan single perdana, saya akan pilih Racun.
“Sejujurnya, lagu Gemilang sebenarnya ditulis pada asalnya dalam bahasa Inggeris. Memang dah lama nak rilis dalam bahasa Inggeris dan tak sangka selepas 20 tahun, baru ada kesempatan,” katanya.

Nasihat
Melihat ramai penyanyi ‘berlumba-lumba’ menyanyi lagu nada tinggi untuk persembahan pentas, Jaclyn sempat menitipkan pesanan agar mereka tahu kadar kemampuan masing-masing.
Kata Jaclyn, menyanyi tanpa teknik yang betul boleh merosakkan pita suara seseorang seperti apa diutarakan jurulatih vokal, Datuk Syafinaz Selamat.
“Seseorang penyanyi itu berpotensi untuk merosakkan vocal cord (pita suara) andai menyanyi nada tinggi secara berlebihan.
“Kalau selalu sangat nyanyi nada tinggi, suara akan jadi serak atau boleh merosakkan cord. Kita nak pakai sampai tua.
“Macam masalah nodul dan polip dalam tekak selalu terjadi kepada penyanyi yang selalu sangat menggunakan suara (nada tinggi),” ujarnya.
Pelantun lagu Satu Harapan itu memaklumkan, pengalaman menyanyi di kelab malam memberi pengajaran buat dirinya agar tahu bagaimana cara untuk menjaga kesihatan terutama melibatkan pita suara.
“Saya sendiri tak nak ‘kalah’, semua nak nyanyi key original. Dulu zaman Malaysian Idol, satu malam boleh nyanyi 30 lagu tiada masalah sebab menyanyi di kelab.
“Selepas bergelar artis rakaman, mana ada buat ‘show’ nyanyi 30 lagu melainkan untuk konsert sendiri.
“Nasihat saya, know your body (tahu kemampuan badan). Jangan nyanyi tinggi-tinggi sampai hilang suara. Dapatkan rehat secukupnya agar boleh terus menyanyi sampai bila-bila,” tutupnya.