PENGENDALI Sabah FC, Martin Stano sekali lagi mengharapkan ‘tangan emas’ penjaga golnya, Damien Lim untuk menghadapi Terengganu FC pada aksi Liga Super di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin malam ini.
Berdasarkan beberapa perlawanan terdahulu, Stano tidak segan untuk melabel Lim sebagai nadi utama kepada The Rhinos khususnya selepas melihat kecemerlangan penjaga gol itu menentang Selangor FC pada Khamis lalu.
“Seperti saya katakan, semua pemain layak untuk mendapat kredit memandangkan ketika ini ada pemain yang alami kecederaan. Kami masih ada perlawanan perlu dilalui dan kami tidak ada jalan lain kecuali kekal fokus.
“Dia (Lim) melakukan banyak aksi menyelamat dan pemain lain turut beri bantuan kepadanya. Jadi saya fikir dia adalah salah seorang pemain penting buat kami,” katanya.
Berbaki empat perlawanan, Sabah kini berada di tangga ketiga Liga Super dengan 35 mata, dipisahkan lapan mata berbanding The Red Giants di tempat kedua yang menawarkan slot ke pentas Liga Juara-Juara 2 (ACL2).
Stano tidak mahu menganggap jurang itu terlalu besar, sebaliknya bersikap positif dan percaya anak-anak buahnya juga mengharapkan sesuatu yang lebih baik penghujung musim nanti.
“Sasaran kami untuk kekalkan kedudukan ketiga tetapi masih ada beberapa perlawanan lagi. Kami tidak mahu terus hilang mata dan akan kekal bekerja keras bagi mengekalkan konsisten,” katanya.