WASHINGTON – Roket SpaceX Starship milik syarikat bilionair Elon Musk berpusing di luar kawalan dan meletup di angkasa selepas dilancarkan dari Texas, lapor portal berita MailOnline semalam.
Ia menandakan penamat yang mengecewakan kepada apa yang kelihatan sebagai pelancaran yang berjaya kerana Musk berusaha mencapai matlamatnya untuk menghantar manusia ke Planet Marikh.
Susulan letupan itu, semua penerbangan pesawat di Florida termasuk Miami, Orlando, Palm Beach dan Fort Lauderdale dihentikan kerana serpihan roket jatuh ke Bumi.
Roket itu dilancarkan pada pukul 5.30 petang (waktu tempatan) dari pangkalan syarikat itu di Boca Chica, Texas, ketika pemerhati menunggu dengan nafas tertahan untuk melihat sama ada ia terselamat melepasi titik ‘tekanan aerodinamik maksimum’.
Lebih satu juta orang menonton penstriman secara langsung Musk di platform X miliknya untuk menyaksikan pelancaran dan meraikan serta bersorak ketika ia meluncur ke langit.
Namun, hanya 10 minit dalam penerbangan yang dijangka mengambil masa kira-kira sejam, roket itu mula berpusing di luar kawalan.
Beberapa saat kemudian, video penstriman secara langsung tamat dan pekerja-pekerja SpaceX mengesahkan mereka terputus hubungan dengan roket itu.
Syarikat itu kemudian mengeluarkan kenyataan bagi mengesahkan letupan dan misinya gagal.
Satu rakaman video luar biasa dari Bahamas menunjukkan serpihan roket itu jatuh dari langit selepas meletup membentuk bola api gergasi. – AGENSI