fbpx

Rakan Kebun Kemas mampu raih RM20,000 setiap pusingan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Mohd. Hanafiah (dua dari kanan) meninjau kebun sayur dikendalikan peserta Rakan Kebun Kemas di Kampung Pulau Manis, Kuala Terengganu semalam.

KUALA TERENGGANU – Jabatan Kemajuan Masyarakat (Kemas) berhasrat memperluaskan lagi program Rakan Kebun yang berjaya membantu komuniti luar bandar meningkatkan pendapatan menerusi aktiviti berkebun.

Ketua Pengarah Kemas, Datuk Mohd. Hanafiah Man berkata, program Rakan Kebun yang diperkenal tiga tahun lalu menunjukkan perkembangan memberangsangkan.

Beliau berkata, sebahagian komuniti terlibat mampu meraih pendapatan tambahan mencecah RM20,000 bagi setiap pusingan tanaman.

“Setakat ini lebih 200 komuniti luar bandar di seluruh negara terlibat dalam program Rakan Kebun termasuk Kampung Pulau Manis di sini.

“Kita menyasar untuk melibatkan tambahan 50 komuniti lagi dalam projek ini sepanjang tahun ini,” katanya ketika ditemui pada program Desa Cergas di Kampung Pulau Manis di sini malam tadi.

Mohd. Hanafiah berkata, pengarah Kemas negeri-negeri juga telah diarahkan untuk membantu mengembangkan prospek kebun peserta program yang dilihat berdaya maju.

Beliau berkata, program Rakan Kebun berkenaan mendapat kerjasama Institut Piawaian Malaysia (SIRIM) yang menawarkan teknologi ekosistem pertanian terkini.

“Program Rakan Kebun melibatkan penyertaan antara seorang sehingga 15 orang bagi setiap komuniti menanam sayur-sayuran mempunyai permintaan tinggi seperti salad Coral, sawi putih, kangkung dan terung secara fertigasi atau hidroponik,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI