KLANG – Kegiatan haram pemprosesan sisa elektronik (e-waste) berselindung di sebalik kilang barangan terpakai terbongkar menerusi serbuan di Taman Perindustrian Meru, di sini semalam.
Dalam serbuan pukul 11 pagi itu, sebanyak 1,234 tan e-waste dan kelengkapan mesin dianggarkan RM33.18 juta dirampas selain seorang lelaki tempatan dipercayai penjaga kilang berusia 30 tahun ditahan.
Komander Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah 1, Asisten Komisioner Rusley Chi Ari berkata, siasatan awal mendapati kilang itu hanya mempunyai lesen menyimpan barang lusuh dengan e-waste tersebut diperoleh dari luar negara.
Katanya, serbuan bersama Jabatan Alam Sekitar (JAS) Selangor menemukan sejumlah barangan buangan yang dikategorikan sebagai Buangan Terjadual.
“Antara barangan yang dirampas adalah tembaga seberat 16,100 kilogram (kg), aluminium telah proses (207,900 kg), aluminium belum diproses (112,000 kg) dan aluminium telah dicampur (7,000 kg).
“Selain itu, campuran e-waste yang belum diproses dengan berat 23,100 kg, e-waste campuran (787,500 kg) dan aluminium telah dimampat (81,000 kg),” katanya pada sidang akhbar di ibu pejabat PPM Pelabuhan Klang, di sini, hari ini.
Beliau menambah, turut dirampas tiga buah forklift, dua alat penimbang, sebuah lori berjenama Daihatsu Delta serta lima mesin dan pihaknya selain sedang mengesan pemilik kilang terbabit, yang dipercayai warga tempatan.- KOSMO! ONLINE