LONDON – Buat kali pertama dalam sejarah, pemain tenis wanita profesional bakal menerima cuti bersalin bergaji menerusi inisiatif baharu diperkenalkan Persatuan Tenis Wanita (WTA).
Lebih 320 pemain layak menerima cuti bersalin berbayar sehingga 12 bulan menerusi dana khas diperkenalkan badan induk itu.
Apa yang menarik, bayaran akan diberikan secara sama rata tanpa mengira kedudukan ranking, malah pemain juga tidak perlu membayar semula kepada WTA sekiranya memilih untuk tidak kembali beraksi.
Dana yang akan disalurkan tersebut akan dibiayai sepenuhnya oleh Dana Pelaburan Awam (PIF) Arab Saudi yang juga rakan kongsi global Jelajah WTA.
Ketua Pegawai Eksekutif WTA, Portia Archer menyifatkan langkah tersebut sebagai satu perubahan besar dalam dunia sukan wanita, terutama bagi atlet yang bekerja secara bebas.
“Ia memberikan lebih fleksibiliti kepada pemain untuk merancang keluarga tanpa perlu risau kehilangan sumber pendapatan,” katanya.
Legenda tenis, Victoria Azarenka yang melahirkan anak lelaki pada 2016, menyifatkan pengenalan skim baharu itu sebagai kejayaan besar buat wanita dalam sukan.
Juara Grand Slam empat kali, Naomi Osaka turut memuji langkah itu dan menyifatkannya sebagai sesuatu yang mengubah kehidupan atlet.
Bagi melayakkan diri, pemain perlu menyertai sekurang-kurangnya lapan kejohanan WTA dalam tempoh 12 bulan terakhir atau 24 kejohanan dalam tiga tahun terakhir.
Sejak 2019, WTA turut melaksanakan polisi khas yang membolehkan pemain menggunakan ranking sebelum bersalin bagi menyertai 12 kejohanan dalam tempoh tiga tahun selepas melahirkan anak.
Selain sokongan kewangan, WTA turut menyediakan pasukan perubatan khas merangkumi pemeriksaan kesihatan, sokongan mental serta panduan kembali ke gelanggang secara berperingkat bagi pemain hamil dan yang baru melahirkan anak. – AGENSI