fbpx

Pendekatan diplomasi tangani isu sempadan, elak ketegangan – MiDAS

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Kehadiran kapal LCS pada 2027 nanti akan mengukuhkan lagi kekuatan TLDM dalam menjaga kedaulatan perairan negara.

KUALA LUMPUR – Kerajaan Malaysia khususnya Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) dan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) memandang serius sebarang pencerobohan dalam Zon Ekonomi Eksklusif (ZEE) negara.

Lebih 80 peratus perdagangan negara melalui laluan ini dan sebarang ketidaktentuan boleh menjejaskan aliran perdagangan dan memberi kesan negatif kepada ekonomi Malaysia dan antarabangsa dengan nilai perdagangan melebihi AS$3 trilion (RM13.42 trilon) setiap tahun.

Mengulas mengenai perkara berkenaan, Pengarah Keselamatan Maritim, Institut Pertahanan dan Keselamatan Malaysia (MiDAS), Kepten Hazlan Hazumi TLDM berkata, meskipun pencerobohan sering berlaku, pihak berkuasa sentiasa mengambil pendekatan seimbang secara diplomasi dalam mempertahankan kedaulatan negara.

Hazlan Hazumi

Jelasnya, pendekatan tersebut diambil bagi memastikan hubungan baik dengan negara besar terutamanya China dan Amerika Syarikat serta negara-negara jiran, terpelihara.

Bagi mengulas mengenai pendekatan tersebut, Kepten Hazlan memberi contoh bagaimana TLDM bereaksi kepada kehadiran sebarang kapal milik negara asing.

Setelah mengesan dan mengesahkan kehadiran kapal berkenaan di perairan negara TLDM akan menugaskan pemantauan maritim dilakukan bagi menilai situasi semasa secara langsung.

“Langkah pertama yang diambil oleh TLDM adalah dengan menghantar maklumat situasi ini kepada Kementerian Pertahanan.

“Seterusnya Kementerian Pertahanan akan menghantar draf nota bantahan kepada Kementerian Luar Negeri untuk tindakan selanjutnya berdasarkan Konvensyen Undang-Undang Laut Antarabangsa 1982 (UNCLOS).

“Di peringkat TLDM pula operasi pemantauan akan sentiasa dilaksanakan 24 jam sehari sepanjang tahun dengan mengarahkan kapal ronda beserta bantuan pesawat untuk melaksanakan operasi pemantauan bagi memastikan kehadiran kapal peronda negara asing tidak menjejaskan kedaulatan negara,” katanya kepada Kosmo!.

Bagaimanapun, Hazlan berkata, Malaysia sentiasa mengambil penyelesaian isu terbabit secara diplomatik melalui rundingan bagi mengelakkan peningkatan konflik serta ketegangan dengan negara-negara yang terlibat.

Sebagai contoh katanya, Malaysia telah melaksanakan Bilateral Dialogue on the Management of Maritime Issues in the South China Sea dengan negara China pada 16 Oktober 2024 di Langkawi.

“Di peringkat ASEAN, Malaysia terus menyokong pelaksanaan Kod Tatalaku (COC) Laut China Selatan yang bertujuan untuk memastikan semua pihak mematuhi peraturan antarabangsa seperti UNCLOS.

“Berdasarkan tindakan yang telah diambil oleh kerajaan, dilihat bahawa Malaysia percaya pengukuhan ketenteraan perlu dilaksanakan tanpa menimbulkan provokasi, dan inilah prinsip utama dalam strategi diplomasi pertahanan,” ujarnya.

Bercakap soal pengukuhan ketenteraan terbabit, Hazlan berkata, pemodenan TLDM melalui Penjajaran Pelan Transformasi TLDM 15 to 5 adalah sebahagian daripada usaha bagi memastikan Malaysia mempunyai armada yang lebih cekap dan berkeupayaan untuk menangani cabaran keselamatan maritim di Laut China Selatan.

“Setakat pengetahuan saya, TLDM telah menerima empat Littoral Mission Ships (LMS) Batch 1 yang sedang beroperasi dan Littoral Combat Ship (LCS) pertama dijangka siap akhir 2027.

“Selain itu, tiga LMS Batch 2 sedang dalam pembinaan dan dijangka siap 2027. Kapal pertama dijangka siap pada Oktober 2027 dan aset ini akan meningkatkan keupayaan pemantauan dan tindak balas pantas dalam menghadapi sebarang ancaman.

“Namun, dalam jangka masa panjang, pihak ATM perlu menambah baik aspek kesedaran domain maritim (maritime domain awareness) seperti pemantauan dari udara dan sistem kawalan perisikan bagi memastikan perairan Malaysia mempunyai pertahanan lebih menyeluruh,” katanya.

Justeru katanya, kerjasama dengan ASEAN penting kerana kita berkongsi kepentingan yang sama dalam mengekalkan kestabilan di Laut China Selatan.

“Sebagai negara anggota ASEAN, Malaysia sentiasa menyokong rundingan COC yang bertujuan memastikan pertikaian dapat dikawal secara aman tanpa tindakan unilateral oleh mana-mana pihak.

“Kalau dilihat dalam laporan yang dikeluarkan berkaitan Retreat Menteri Luar ASEAN di Langkawi pada Januari 2025 lepas, Malaysia menegaskan bahawa COC perlu diselesaikan dengan segera bagi mengelakkan ketegangan daripada meningkat.

“Kod ini akan menyediakan mekanisme penyelesaian pertikaian dan mengurangkan risiko konflik.

“Dengan adanya peraturan yang lebih jelas dan dipersetujui secara kolektif, Malaysia dan negara-negara ASEAN lain dapat mengekalkan kebebasan navigasi serta mengelakkan tekanan dari kuasa-kuasa besar,” katanya.

Tambah beliau, Malaysia juga menyokong sebarang inisiatif diplomatik seperti ASEAN Maritime Outlook (AMO) yang bertujuan untuk memastikan Laut China Selatan kekal sebagai kawasan perdagangan bebas yang selamat tanpa sebarang halangan yang tidak perlu daripada mana-mana pihak.

Dalam pada itu, Hazlan berkata, kerjasama dengan kuasa-kuasa besar turut dilaksanakan berdasarkan prinsip kedaulatan, kepercayaan strategik, dan keperluan pertahanan dan keselamatan negara.

“Sebagai contoh, Malaysia bekerjasama dengan Amerika Syarikat melalui Cooperation Afloat Readiness and Training (CARAT) dan program Maritime Security Initiative (MSI) untuk meningkatkan keupayaan pemantauan dan operasi maritim.

“Dengan pendekatan ini, Malaysia dapat mengekalkan kedaulatan sambil melindungi kepentingan perdagangan maritim, yang merupakan nadi ekonomi negara,”katanya.-KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI