KUALA LUMPUR – Impian beregu wanita No.1 negara, Pearly Tan-M. Thinaah untuk melangkah ke pentas separuh akhir Kejohanan Badminton Orleans Masters 2025 tidak kesampaian selepas terpaksa akur dengan kehebatan beregu China, sebentar tadi.
Pada aksi suku akhir di Palais des Sports, Orleans, Pearly-Thinaah yang turun selaku pilihan kedua kejohanan gagal mencari mata kebangkitan ketika berdepan pasangan China, Jia Yi Fan-Zhang Shu Xian.
Mereka akhirnya tumpas menerusi keputusan straight set 15-21, 19-21 dalam tempoh 40 minit.
Sebelum ini, pasangan negara itu tampil cemerlang apabila menewaskan gandingan Korea Selatan, Jeong Na Eun-Lee Yeon Woo untuk ke suku akhir.
Bagaimanapun, aksi kebangkitan tersebut gagal diteruskan dan ditunjukkan jalan keluar.
Pada set pertama, Pearly-Thinaah bermula dengan aksi goyah apabila ketinggalan 4-11 dan membuka peluang lawan ke-42 dunia itu untuk meraih kemenangan 21-15.
Set kedua menyaksikan kedua-dua beregu bersaing sengit mendapatkan mata dan terikat pada kedudukan 14-14 tetapi kecekapan Yi Fan-Shu Xian mengawal permainan memberikan kelebihan kepada pasangan China untuk meraih kemenangan 21-19.
Selepas ini, Pearly-Thinaah akan mengalihkan tumpuan mereka di Seluruh England yang bermula Selasa ini dan mereka menentang gandingan Taiwan, Teng Chun Hsun-Yang Chu Yun di pusingan pertama. -KOSMO! ONLINE