fbpx

Moga terus berbakti sepenuh hati – Anwar

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Anwar dan isteri, Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail menghadiri Istiadat pengurniaan Darjah Kebesaran, Bintang dan Pingat sempena sambutan Hari Wilayah Persekutuan 2025 di Balairung Seri Istana Negara hari ini.

PETALING JAYA – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengucapkan tahniah diucapkan kepada para penerima Darjah Kebesaran, Bintang dan Pingat oleh Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim hari ini.

Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata, beliau hadir ke Istiadat Pengurniaan Darjah Kebesaran, Bintang dan Pingat Wilayah Persekutuan sempena sambutan Hari Wilayah Persekutuan 2025 tersebut.

“Sekalung tahniah diucapkan kepada para penerima, moga terus berbakti sepenuh hati dan bulatkan iltizam kepada agama, bangsa dan negara,” katanya dalam satu hantaran di media sosial hari ini.

Kosmo! Online hari ini melaporkan, Yang di-Pertuan Agong berkenan mengurniakan Darjah Kebesaran, Bintang dan Pingat kepada seramai 32 penerima.

Istiadat pengurniaan Darjah Kebesaran, Bintang dan Pingat sempena sambutan Hari Wilayah Persekutuan 2025 itu berlangsung di Balairung Seri Istana Negara di ibu negara.

Raja Permaisuri Agong Raja Zarith Sofiah turut berkenan berangkat ke istiadat berkenaan.

Mendahului penerima ialah Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Dr. Zaliha Mustafa yang dikurniakan Darjah Seri Mahkota Wilayah (S.M.W) yang membawa gelaran Datuk Seri.

Turut menerima Darjah Kebesaran S.M.W ialah Ketua Pengarah Jabatan Wilayah Persekutuan, Noridah Abdul Rahim.

Seri Paduka Baginda turut berkenan mengurniakan Darjah Panglima Mahkota Wilayah (P.M.W) yang membawa gelaran Datuk kepada seramai sembilan penerima.

Mereka antaranya Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil; Ketua Pengarah Pendidikan, Azman Adnan; Hakim Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, Hayatul Akmal Abdul Aziz dan Penasihat Undang-Undang Istana Negara, Zulharry Abdul Rashid.

Yang di-Pertuan Agong turut berkenan mengurniakan Darjah Johan Mahkota Wilayah (J.M.W) kepada enam penerima, Kesatria Mahkota Wilayah (K.M.W) kepada lima penerima, Ahli Mahkota Wilayah (A.M.W) kepada empat penerima dan Pingat Pangkuan Mahkota Wilayah (P.P.W) kepada enam penerima. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI