PETALING JAYA – Menunggu masa tepat, penyanyi Ernie Zakri merancang untuk menambah cahaya mata pada tahun hadapan.
Kata Ernie atau nama lengkapnya Nur Ernie Shahirah Zakri, 33, dia dan suami, Syamel yang juga penyanyi mahu fokus terhadap karier seni terlebih dahulu.
“Tahun ni Khawla sudah masuk tiga tahun, kami nak tunggu dia empat tahun. Saya bukan anak selorang saja
“Pada saya dengan kerja kami, memang ada perancangan (tambah anak) tak bolehlah tiba-tiba mengandung.
“Syamel pula ada perancangan nak lancarkan album, saya enggan fokus dia teralih. Ada anak bukan satu perkara mudah, memerlukan komitmen besar,” katanya kepada Kosmo! Online baru-baru ini.
Dalam masa sama, pelantun lagu Masing Masing itu turut memaklumkan anak sulung mereka, Nur Khawla Soleha sudah bijak mengajukan soalan tentang adik.
“Lala (nama panggilan Khawla) ada juga tanya saya tidak mahu adik ke, siapa ajar mungkin nanny (nenek) dia.
“Dia cakap ‘Abu (panggilan Ernie) Lala nak bayi kecil lain boleh dalam perut abu? Lala sayang baby.’
“Dia dah besar dan mula memahami. Kawan pun dengan orang besar dalam rumah, tiada yang sebaya jadi insya-Allah tunggu dia besar sikit,” ujarnya.
Ernie dan Syamel mendirikan rumah tangga pada 22 Mac 2021 selepas saling mengenal hati budi menerusi program Duo Star pada tahun 2016.
Mereka dikurniakan seorang cahaya mata perempuan, Nur Khawla Soleha yang kini berusia tiga tahun. – KOSMO! ONLINE