fbpx

Kenaikan caj hospital swasta: Kerajaan digesa kawal selia pihak ketiga

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan.

PETALING JAYA – Kerajaan digesa mengawal selia peranan Pentadbir Pihak Ketiga (TPA) yang kini beroperasi tanpa sebarang kawalan meskipun mereka menjadi penyumbang utama kepada peningkatan kos penjagaan kesihatan swasta di negara ini.

Presiden Persatuan Perubatan Malaysia (MMA), Datuk Dr. Kalwinder Singh Khaira berkata, TPA bertindak sebagai orang tengah dalam menyediakan perkhidmatan penjagaan kesihatan, tetapi mereka turut menentukan harga rawatan.

Menurutnya, TPA juga dikesan melambatkan pembayaran dan mengenakan beban pentadbiran yang tidak perlu, seterusnya meningkatkan kos bagi doktor dan pesakit.

“Justeru, MMA menggesa Bank Negara (BNM) dan Kementerian Kesihatan campur tangan dan memainkan peranan lebih aktif dalam mengawal selia operasi TPA di negara ini.

“Kelewatan dalam pemprosesan tuntutan insurans serta keperluan prakelulusan yang berlebihan oleh syarikat insurans turut menjejaskan akses pesakit kepada rawatan segera, terutama bagi penyakit kritikal,” katanya dalam kenyataan.

Beliau berkata, MMA berpandangan kawal selia lebih ketat oleh BNM diperlukan bagi memastikan rawatan yang sepatutnya diperoleh oleh individu yang diinsuranskan tidak tertangguh atau dinafikan.

Dr. Kalwinder Singh berkata, sehubungan itu kerajaan digesa melaksanakan pembaharuan segera dalam sektor penjagaan kesihatan swasta bagi menangani isu kritikal yang memberi kesan kepada pakar perubatan dan pengamal am, kelestarian fasiliti kesihatan swasta, kos rawatan serta ekosistem penjagaan kesihatan secara keseluruhan.

Katanya, peningkatan kos rawatan di hospital swasta di negara ini sebahagian besarnya dipengaruhi oleh perkhidmatan dan bekalan hospital dan bukannya oleh yuran profesional doktor yang dikawal di bawah Jadual Ke-13.

Beliau berkata, bagaimanapun ramai pakar perubatan swasta masih berdepan tekanan untuk mengurangkan kadar caj mereka, secara langsung atau tidak langsung, yang akhirnya boleh menjejaskan kualiti dan kelangsungan perkhidmatan rawatan pakar dalam sektor swasta. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

RSS Error: A feed could not be found at `https://www.relevan.com.my/feed`; the status code is `520` and content-type is ``