IPOH – Kajian berhubung cadangan meluaskan larangan penjualan minuman keras di Ipoh membabitkan kawasan majoriti penduduk Melayu Islam masih diteruskan.
Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan negeri, Sandrea Ng Shy Ching berkata, kajian itu melibatkan banyak pihak dengan mengambil sudut pandang aspek perundangan, masyarakat dan perniagaan.
“Setakat ini masih berjalan. Sebab ini melibatkan banyak pihak. Setakat ini Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) masih dalam proses untuk mengumpulkan maklumat selain mengadakan sesi libat urus,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mengedarkan bubur lambuk Abang Bomba di Bulatan Sultan Azlan Shah dan majlis berbuka puasa bersama Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak di sini semalam.
Sebelum ini Datuk Bandar Ipoh, Datuk Rumaizi Baharin berkata, MBI sedang melaksanakan kajian terhadap cadangan penduduk supaya larangan itu yang kini dilaksanakan di Gugusan Manjoi, Ipoh diperluaskan ke kawasan majoriti penduduk Islam yang lain.- KOSMO! ONLINE