TANJUNG MALIM – Empat pelajar Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) menerusi Program ‘Qari in Residence’ terpilih menjadi imam bagi solat sunat tarawih sepanjang bulan Ramadan di tiga lokasi berlainan masing-masing di United Kingdom, Australia dan Singapura.
Naib Canselor UPSI, Prof. Datuk Dr. Md. Amin Md. Taff berkata empat pelajar itu merupakan penuntut Ijazah Sarjana Muda Tahfiz Al-Quran dan Qira’at dengan Pendidikan.
Katanya, Muhammad Badrul Amin Derome menjadi imam solat tarawih di Pusat Pengajian Islam Oxford (OXCIS), United Kingdom.
“Muhammad Fathmi Izwan Rusli akan bertugas di Education Malaysia Australia (EMA), Sydney, Australia sementara Wan Muhammad Irsyad Wan Zulkifli dan Ahmad Najmuddin Marwan pula menjadi imam solat tarawih di Masjid Darul Ghurfan, Singapura.
“Pemilihan mereka menunjukkan kepercayaan dunia luar terhadap keupayaan pelajar dan kakitangan kami sekali gus memberi impak positif kepada mereka dalam membentuk jati diri dan kepimpinan yang mantap,” katanya di sini hari ini.
Katanya, ini satu langkah memperluaskan jaringan UPSI dengan pusat-pusat pengajian Islam di luar negara selain melahirkan graduan yang bukan sahaja berdaya saing di peringkat tempatan tetapi persada antarabangsa
“Mereka bukan sahaja akan berperanan sebagai imam tetapi duta kecil yang memperkenalkan keindahan Islam dan budaya Malaysia kepada masyarakat luar.
“Saya berbangga dengan pencapaian ini kerana ia membuktikan bahawa UPSI bukan sahaja menjadi pusat kecemerlangan akademik tetapi pusat yang menyemai bakat dalam bidang keagamaan dan kepimpinan,” katanya.
Pengarah Pusat Islam UPSI, Muhammad Tarmizi Abdul Rahman berkata, Penolong Pegawai Hal Ehwal Islam UPSI, Muhammad Safwan Ismail pula akan mengimamkan solat tarawih di Education Malaysia Australia, Perth, Australia. – KOSMO! ONLINE