JOHOR BAHRU – Seorang ejen hartanah mengalami kerugian sebanyak RM130,000 selepas menjadi mangsa sindiket penipuan yang menawarkan peluang pelaburan matawang kripto dengan pulangan berlipat ganda menerusi aplikasi WhatsApp.
Ketua Polis Daerah Seri Alam, Asisten Komisioner Mohd. Sohaimi Ishak berkata, mangsa yang merupakan wanita tempatan berusia 45 tahun membuat laporan polis berhubung kejadian, kelmarin.
Menurut beliau, mangsa mengenali suspek iaitu seorang lelaki apabila menerima mesej di WhatsApp yang memaklumkan tentang peluang pelaburan tersebut.
“Mangsa kemudian menekan pautan yang diberi sebelum melakukan lima transaksi pembayaran ke dalam tiga akaun bank berbeza bermula 21 November tahun lalu hingga 3 Januari tahun ini melibatkan wang berjumlah RM130,000.
“Mangsa bagaimanapun tidak dibenar untuk mengeluarkan keuntungan yang didakwa diperoleh, sebaliknya diminta untuk membuat pembayaran tambahan,” katanya dalam satu kenyataan, di sini hari ini.
Tambah Mohd. Sohaimi, akibat kejadian itu, mangsa menyedari telah ditipu sekaligus terus membuat laporan polis.
“Sehubungan itu, kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan,” jelasnya.-KOSMO! ONLINE